PENULIS berpandangan tsunami politik telah melabuhkan tirainya pada PRU-14. Faktor yang menyebabkan tsunami telahpun membuahkan hasil dan sasaranpun telah ditelan undang-undang.
Selain itu rakyat telahpun merasa kesan tsunami tersebut, dalam tempoh sepenggal telah berganti tiga Perdana Menteri.
Menerusi PRU ke-15 ini, rakyat akan keluar mengundi memilih parti yang dirasakan sesuai memerintah negara dan menjamin keamanan politik dan seterusnya menubuhkan kerajaan yang stabil.
Pada PRU kali ini, senario politik jauh berbeza dengan PRU-14, kerana parti-parti yang menyertai sudah berubah, walaupun pemimpin tidak banyak berubah.
Pada PRU-14, Parti Barisan Nasional (BN) masih dianggotai 13 parti komponen, namun kali ini, telah berpecah, ada yang masih berkolaborasi ada yang menjadi pembangkang, demikian juga parti lawan parti itu pada PRU-14, kini pula bekerjasama. Demikian juga yang berlaku pada Pakatan Harapan (PH), walaupun kekal dengan parti asal, akan tetapi rakan parti semasa diberi mandat pada PRU-14, kini menjadi musuh politik.
Jika pada PRU-14, blok parti utama yang saling bertembung, adalah BN, PH dan Pas, pada PRU ke-15 ini, berbeza sedikit, iaitu pertembungan antara BN, PH, PN dan GTA di Semenanjung, manakala di Sarawak, antara GPS dan PH, di Sabah pula hampir semeriah di Semenanjung, apabila berlaku pertembungan antara GRS-BN, PH dan Parti Warisan dan parti-parti kecil lain seperti KDM.
Mungkin atas sebab senario politik yang amat berbeza, ramai penganalis politik termasuk juga mantan Timbalan Perdana Menteri- Tun Musa Hitam berpandangan, di Semenanjung, bakal berlaku tiada parti dominan, melainkan mana-mana blok parti perlu sokongan daripada Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan. Jika demikian kesudahannya, misi PRU kali ini untuk mengwujudkan keamanan politik dan seterusnya pengwujudan kerajaan yang stabil tidak tercapai, atas sebab, kerajaan yang diwujudkan tidak mempunyai majoriti yang cukup besar.
Seperti mana pengalaman negara, pasca PRU-14, apabila kerajaan tidak mempunyai majoriti yang besar, boleh sahaja tumbang sebelum waktunya.
Pun demikian semua ini hanya andaian, kerana terletak di tangan 21 juta pengundi negara ini menentukan keputusan PRU kali ini.
Para pemimpin parti-parti yang terlibat hanya boleh mengatur berbagai strategi, sebagai usaha menarik seramai mungkin pengundi menyebelahi parti masing-masing. Sama-sama kita tunggu 19 November ini, blok parti mana yang bakal muncul sebagai pemenang.