PENAMPANG: Dua komponen utama iaitu pembangunan sistem pangkalan data bersepadu dan dokumentasi etnik, diberi penekanan dalam Fasa kedua Projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah 2024-2025.
Fasa pertama projek ini telah bermula pada tahun 2021 sehingga 2023 dan telah mengumpulkan sebanyak 16 kajian melibatkan pelbagai etnik di seluruh Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek itu antara yang dilaksanakan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam usaha memastikan data dan dokumentasi membabitkan kepelbagaian etnik di Sabah terus terpelihara.
“Antara etnik itu ialah etnik Dusun Gana, Mangka’ak, Sungai Milian, Murut Timugon, Okolod, Turavid, Kadazan Papar, Kalabuan dan Bonggi.
“Saya berharap usaha ini akan mencapai matlamat kita khususnya untuk mengenali etnik-etnik ini dan budaya mereka.
“Usaha seperti ini sudah pasti membantu kita untuk memelihara dan memulihara budaya etnik-etnik yang ada di negeri ini. Saya juga dimaklumkan bahawa pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah melakukan dokumentasi etnik dan budaya secara berterusan sebelum ini iaitu sejak tahun 2008,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Etnik Sabah sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi juga lebih daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik yang hidup harmoni di negeri ini.
“Setiap etnik menyumbang kepada keunikan budaya, adat resam, dan tradisi yang memperkayakan identiti negeri. Sempena sambutan Hari Etnik ini, kita meraikan kekayaan dan kepelbagaian etnik yang menjadi identiti unik negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut berharap seminar ‘Pemerkasaan Komuniti Budaya Melalui Protokol Budaya Komuniti’ yang dihadiri persatuan-persatuan etnik, persatuan pengusaha pelancongan daerah dan komuniti Rizab Biosfera Banjaran Crooker, telah memberikan informasi baharu tentang kaedah pemuliharaan budaya secara bersepadu menerusi Modul Protokol Budaya Komuniti.
“Segala ilmu baharu yang diperoleh diharap akan diaplikasikan di peringkat akar umbi khususnya persatuan dan komuniti demi kelestarian budaya dan memajukan lagi industri pelancongan di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berharap sambutan Hari Etnik dapat dihayati dan diraikan dalam suasana harmoni, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara etnik.
— TAMAT