Site icon Sabah Baru News

Polis minta MCMC arah Mkini padam video Adun didakwa rasuah – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR:Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menafikan dia mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meminta Malaysiakini supaya “segera mengeluakan” artikel dan video berkaitan skandal rasuah yang didakwa berlaku di Sabah.

Sebaliknya, Fahmi berkata permintaan kepada MCMC itu dibuat oleh pihak polis.

“Permintaan ini dibuat oleh PDRM, bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan yang sedang berjalan. Bukan daripada saya atau timbalan saya (Teo Nie Ching),” kata jurucakap kerajaan itu kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang berbincang dengan peguam berhubung permintaan MCMC tersebut.

Permintaan itu berkaitan video memaparkan Adun Tempasuk, Arsad Bistari, yang mengadu mengenai “projek RM70 juta yang telah disekat” dan menyalahkan “pasukan lama” yang terdiri daripada Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun.

Dalam surat bertarikh 16 November, MCMC menyatakan bahawa artikel dan video tersebut boleh mengganggu siasatan polis berkaitan ugutan bunuh terhadap pemberi maklumat berkenaan serta menjejaskan keselamatan dan privasi individu berkenaan.

Video itu merupakan salah satu daripada empat video yang disiarkan oleh Malaysiakini. MCMC tidak menyebut mengenai rakaman lain.

Semalam, Arsad mendakwa video tersebut telah “disunting dengan niat jahat” dan dia “bercakap secara sarkastik dan berseloroh” dengan pemberi maklumat tersebut, yang disyakinya mempunyai niat tidak jelas.

Pada 12 November lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa pemberi maklumat tersebut telah membuat laporan polis berhubung ancaman bunuh yang diterimanya menerusi panggilan daripada nombor luar negara beserta gambar ugutan. – MK

Exit mobile version