TAWAU: Persatuan Bola Sepak Daerah Tawau (Tawau FA) komited dalam membentuk pasukan bola sepak terbaik bagi menghadapi Sukan Sabah kali ke-11 (SAGA XI) pada tahun depan.
Presiden Tawau FA, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya sentiasa menyokong dan mendokong setiap penganjuran yang diadakan di daerah ini.
Katanya, penganjuran bola sepak di daerah ini tidak pernah putus kerana setiap tahun pelbagai kejohanan dilaksanakan termasuklah Piala FA, Piala Division 1, Piala Division 2, Piala Veteran, Futsal dan sebagainya.
“Ketika ini, kita dalam rangka menyediakan satu pasukan yang terbaik bagi menghadapi SAGA XI yang kebetulan tuan rumah adalah daerah Tawau.
“Justeru, kejohanan yang dilaksanakan ini adalah menarik minat belia terhadap sukan bola sepak, sekali gus mencungkil bakat baharu yang akan diketengahkan nanti,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika menyaksikan Perlawanan Akhir Piala FA di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, katanya, selepas kejohanan ini juga akan diadakan perlawanan akhir bagi Division 1 merebut piala Datuk Tawfiq dan Divison 2 merebut piala Datuk Nizam.
“Saya berharap menerusi pelbagai kejohanan yang diadakan tahun ini dapat mencungkil tenaga baharu dalam kalangan orang muda untuk mewakili daerah Tawau pada SAGA XI,” katanya.
Sementara itu, katanya, kerajaan negeri sentiasa memberikan bantuan kepada sektor sukan di Sabah melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
“Sukan bola sepak tidak terkecuali mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri memandang pasukan bola sepak Sabah ketika ini semakin mempamerkan pencapaian terbaik dalam Liga Malaysia.
“Saya yakin dengan sokongan padu daripada kerajaan negeri, mutu bola sepak Sabah bertambah digeruni oleh pasukan lain dan dapat melahirkan ramai pemain ternama pada masa akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan ini, Nizam menzahirkan penghargaan kepada penganjur kerana berjaya mengurus setiap perlawanan dengan baik.
“Saya juga gembira kerana semakin hari peminat bola sepak bertambah dan malam ini dapat dilihat kira-kira 1,000 peminat bola sepak hadir menyaksikan perlawanan akhir ini.
“Syabas dan tahniah kepada pasukan R-Nie FC kerana berjaya mengalahkan pasukan NABT FC, sekali gus menjuarai Piala FA tahun ini,” katanya.
–Hamzah Sanudin