Site icon Sabah Baru News

PRU15: PN putuskan tiada kerjasama dengan GTA

PETALING JAYA– Perikatan Nasional (PN) putuskan tidak ada kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mengambil keputusan untuk bergerak ke depan dengan parti komponen sedia ada.

“Tidak ada perbincangan untuk bekerjasama dengan GTA. Bukan PN tidak mahu ada kerjasama tetapi kita memutuskan untuk bergerak ke hadapan dengan apa yang sudah dirancang sejak awal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat BERSATU di sini pada Khamis.

Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau juga menafikan dakwaan PN ada perbincangan dengan GTA tetapi belum dimuktamadkan kerana ada isu belum selesai.

Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir berkata pihaknya masih meneruskan perbincangan kerjasama dengan GTA dan menyelesaikan beberapa isu dan memberikan masa kepada PN selama dua hari untuk putuskan.

Muhyiddin berkata beliau tidak tahu mengenai perbincangan itu kerana tidak dibawa ke Majlis Presiden PN.

“Tidak ada perbincangan dan tidak ada mesyuarat rasmi. Mungkin ada bincang di peringkat bawahan tetapi tidak sampai kepada majlis (presiden), saya tidak tahu,” katanya.

–Berita Bersatu

Exit mobile version