Site icon Sabah Baru News

COP29: Negara kaya akhirnya setuju sumbang AS$300 bilion setahun hadapi krisis iklim

Perjanjian ini dicapai setelah melalui tempoh dua minggu rundingan yang penuh perbalahan yang diwarnai dengan boikot dan pertikaian politik. – Gambar/ UNclimatechange

BAKU, Azerbaijan: Negara-negara maju akhirnya bersetuju menyediakan AS$300 bilion setiap tahun menjelang 2035 kepada negara membangun bagi membantu mereka menghadapi impak perubahan iklim yang semakin parah.
Angka ini bagaimanapun dikritik banyak negara membangun kerana jauh daripada angka yang diperlukan iaitu lebih AS$1 trilion.

 

Perjanjian ini dicapai setelah melalui tempoh dua minggu rundingan yang penuh perbalahan yang diwarnai dengan boikot dan pertikaian politik.
Malah ada kebimbangan yang COP29 menemui kegagalan terutama apabila kumpulan yang mewakili negara-negara pulau kecil yang rentan dan negara-negara paling kurang membangun meninggalkan rundingan pada Sabtu.
Namun, pada pukul 2.40 pagi (waktu tempatan ) Ahad, setelah 30 jam tarikh sepatutnya COP29 ditamatkan, akhirnya kata sepakat ini dicapai dengan persetujuan majoriti negara.
“Ramai meragui bahawa Azerbaijan dapat merealisasikan perjanjian ini. Mereka juga meragui bahawa semua pihak boleh bersetuju. Mereka salah dengan sangkaan mereka,” kata Mukhtar Babayev, Presiden COP29.
Dana sebanyak AS$300 bilion ini akan disalurkan kepada negara-negara rentan dan miskin untuk membantu mereka menghadapi bencana cuaca ekstrem yang semakin dahsyat dan untuk mengalihkan ekonomi mereka ke arah tenaga bersih.
“Ia adalah perjalanan yang sukar, tetapi kami telah mencapai perjanjian,” kata Simon Stiell, Ketua Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).
“Matlamat kewangan baharu ini adalah polisi insurans untuk kemanusiaan, di tengah-tengah impak iklim yang semakin memburuk dan melanda setiap negara,” katanya.
Namun, jumlah yang dijanjikan ini jauh daripada jumlah AS$1.3 trilion yang dikatakan oleh ahli ekonomi sebagai diperlukan untuk membantu negara-negara membangun menghadapi krisis iklim — yang mereka sumbangkan paling sedikit kepada penyebabnya — dan ini menimbulkan reaksi marah daripada banyak negara membangun.
COP29 yang berlangsung sejak 11 November lalu memberi fokus utama kepada kewangan, satu isu iklim yang penting tetapi sangat sukar dari segi politik.
Negara-negara kaya, yang sebahagian besarnya bertanggungjawab atas perubahan iklim sejarah, bersetuju pada tahun 2009 untuk menyediakan AS$100 bilion setahun menjelang 2020 kepada negara-negara membangun.
Janji itu hanya dipenuhi pada 2022, dua tahun sebelum tarikh akhir.
Perjanjian baharu yang dicapai pada awal Ahad mewajibkan negara-negara kaya, termasuk AS dan negara-negara Eropah, untuk menyediakan AS$300 bilion setiap tahun menjelang 2035, yang terdiri daripada kewangan awam dan swasta.
Negara-negara membangun mendesak agar negara kaya komited untuk menyumbang dana yang lebih besar dan meminta agar ia diberikan dalam bentuk geran dan bukannya pinjaman yang akan menjerat mereka dengan hutang berpanjangan.
AWANI
Exit mobile version