Site icon Sabah Baru News

Senarai calon PRU15 sedang ditapis SPRM, Insolvensi

PAGOH – Perikatan Nasional (PN) akan bertanding sekurang-kurangnya tiga perempat daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketiga-tiga parti komponen dalam PN sudah selesai melakukan rundingan pembahagian kerusi dan akan mengumumkan calonnya pada 2 atau 3 November nanti.

“Senarai calon yang telah dikemukakan parti komponen ketika ini sedang ditapis Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Saya yakin proses tapisan akan selesai dalam beberapa hari akan datang dan kemungkinan besar kita akan membuat pengumuman pada 2 atau 3 November ini.

“Perkara itu akan memberi masa kepada calon untuk membuat persediaan menjelang hari penamaan calon.

“PN telah memutuskan bahawa walaupun terdapat 222 kerusi Parlimen, kita tidak akan bertanding di semua kerusi berkenaan, tetapi sekurang-kurangnya tiga perempat daripadanya.

“Perincian lanjut mengenai perkara berkenaan akan diumumkan kemudian. Pada masa ini, PN sedang memuktamadkan kerusi yang kita mempunyai peluang lebih baik untuk menang,” katanya ketika sidang media selepas Program Bertemu Masyarakat Setempat di Kedai Kopi di Bukit Kepong di sini, semalam.

Berita Bersatu

Exit mobile version