Site icon Sabah Baru News

ADUN Wanita Gagasan Rakyat dakwa ditumbuk

Adun Kunak Norazlinah Arif (kiri), Adun Merotai Sarifuddin Hata (kanan)

KUNAK: Adun Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Norazlinah Arif membuat laporan polis yang mendakwa dia ditumbuk bekas rakan sekerjanya dalam Parti Warisan, Sarifuddin Hata, ketika berjalan menuju ke pintu utama bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada jam 8 malam Rabu lalu.

“Saya membuat laporan polis di Kota Kinabalu berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Daily Express.

Dia didakwa ditumbuk di bahu kanannya oleh Adun pantai timur itu.Daily Express menghubungi Sarifuddin untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku, tetapi beliau enggan mengulas selain berkata:

“Malas lah mau komen, macam tiada tiada lah. Biar lah orang judge sendiri…mau lawan cakap wanita ni mana mau kalah tu.

Norazlinah berkata dia menjalani pemeriksaan hospital di ibu negeri dan sinar X menunjukkan tiada kecederaan serius.

TANGKAPAN skrin video kejadian itu apabila Sarifuddin didakwa menumbuk bahu Norazlinah.

 

“Sehingga kini masih ada rasa sakit pada lengan saya… mungkin kesan pada otot lengan saya,” katanya.

Beliau berkata ia adalah tingkah laku tidak wajar daripada seseorang yang bergelar “Yang Berhormat”, terutamanya terhadap seorang wanita, walaupun ada yang menganggapnya sebagai “gurauan”.

“Ada cadangan untuk saya ambil tindakan supaya ini menjadi pengajaran. Saya boleh ambil tindakan undang-undang jika kita bercakap tentang politik, tetapi saya tidak akan pergi sejauh itu… (saman). Kita ada etika antara lelaki dan wanita… ada sempadan…”

Menurutnya, dia sedang berjalan sambil bercakap dengan seorang rakan wanita “ketika dia tiba-tiba datang dari hadapan dan menumbuk bahu saya”

“Dia langsung tidak memandang saya apabila saya memanggilnya, malah tidak pun tersenyum. Ini menimbulkan persoalan pada masa itu sama ada dia benar-benar bergurau.

“Secara peribadi, sebagai seorang lelaki, dia sepatutnya meminta maaf pada masa itu. Tetapi dia tidak berbuat demikian. Hanya apabila saya membuat hantaran mengenai kejadian itu di Facebook rasmi saya, barulah dia mengulas dengan permohonan maaf,” katanya.

Norazlinah berkata salah seorang pegawainya kebetulan merakam videonya semasa dia berjalan bersama Datuk Flovia Ng ke pintu masuk utama bangunan DUN.

“Dia hanya menjawab di media sosial selepas hantaran Facebook saya mengenai rakaman video itu.

“Sebenarnya saya cuba menganggap (kejadian) ini sebagai gurauan, tetapi ketika kejadian, dia tidak mengendahkan panggilan saya… tidak menoleh pun.”

Norazlinah berkata, dia mahu kejadian itu dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengulangi tindakan sebegitu, terutama dalam kalangan pemimpin negeri, walaupun berbeza fahaman politik.

“Bagi saya, biarlah kejadian ini cukup sebagai pengajaran. Saya hanya mahu fokus kepada tugas sebagai wakil rakyat. Biar rakyat menilai,” katanya.

–Ibrahim Tabir dan Lagatah Toyos

Exit mobile version