RAMPAS: Siti Mang menunjukkan minuman keras yang berjaya dirampas.
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas sebanyak 3,000 karton minuman keras di Pelabuhan Sepanggar, di sini, pada 10 Oktober lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan minuman keras di pelabuhan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena menemukan sebanyak 3,000 karton minuman keras yang diisytiharkan sebagai makanan tin.
“Semua minuman keras yang dirampas itu dianggarkan bernilai sebanyak RM90,050 dan membabitkan duit atau cukai sebanyak RM368,375.04.
“Modus operandi yang digunakan adalah isytihar minuman keras sebagai makanan tin bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.
Sementara itu, kes kedua pula membabitkan serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Jalan Padas Valley, Kampung Luagan Sanginan, Beaufort.
Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemukan 468 karton minuman keras pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM69,657 termasuk cukai.
“Dalam kes ini, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia lingkungan 28 tahun ditahan dan kes masih dalam siasatan.
“Modus operandi bagi kes ini menjadikan stor yang tidak berpenghuni sebagai tempat penyimpanan barang-barang yang tak berkastam,” katanya,
Siti berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.
Katanya, pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sehubungan itu, Siti berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Justeru katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan di talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
“JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya.
— UB