HADIR: Chew (kanan) ketika hadir dalam program berkenaan.
SANDAKAN: Pihak berwajib diminta membuat anggaran jumlah tahunan bekalan elektrik yang diperlukan atau ditambah agar kekurangan bekalan tenaga di sini dapat diatasi pada masa hadapan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, masalah curi elektrik di kawasan setinggan juga berleluasa dan pihak berwajib perlu mencari jalan penyelesaian secara tuntas demi keselamatan orang awam.
“Kita juga memohon agar permohonan bekalan elektrik ke Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), golongan dalam senarai e-Kasih dan mangsa bencana alam diutamakan dan dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Libat Urus Sabah Electricity bersama Unit Pemimpim Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri, di sini baru-baru ini.
Program itu disempurnakan oleh Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.
Dalam pada itu, Chew turut dimaklumkan Unit Rentis Sabah Electricity sedang dalam perancangan untuk memotong dahan-dahan liar di daerah ini setiap tiga bulan berdasarkan jadual berkala.
Chew turut mencadangkan agar satu genset simpanan perlu disediakan di Sandakan agar boleh mengatasi masalah elektrik sekiranya ada kejadian gangguan bekalan elektrik.
Program pagi melibatkan UPPM lima kawasan Parlimen iaitu Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan.
— UB