Site icon Sabah Baru News

PRU15: Pilih pemimpin yang bersih dan tidak korupsi

SANDAKAN: Pengundi perlu memilih pemimpin yang bersih dan tidak korupsi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain berkata, PRU15 perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sabah untuk pilih pemimpin yang bersih, tidak korupsi, menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin dan terhindar daripada segala salahguna kuasa.

“Negeri ini sebenarnya mempunyai banyak sumber hasil. Malangnya, hasil tersebut tidak diurus mengikut acuan pengurusan yang betul oleh pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab.

“Sebagai anak Sabah, penting untuk menentukan siapa pemimpin yang akan mengurus harta negara, mentadbir negara dan negeri kita agar hak sebagai rakyat Sabah yang direnggut dapat dikembalikan,” ujarnya di media sosial semalam.

Menurutnya, Sabah merupakan negeri penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kelima terbesar dalam negara. Ironinya, Sabah juga tersenarai antara negeri termiskin dalam Malaysia.

Ini, ujarnya jelas kelihatan dengan keadaan infrastruktur di Sabah seperti jalan raya yang menyedihkan, bekalan air dan elektrik yang sering terputus di hampir setiap daerah.

“Jika diamati, ramai di kalangan anak-anak Sabah yang mempunyai latar belakang profesional mahupun bukan, merantau ke luar negeri semata-mata untuk mencari rezeki.

“Persoalannya, adakah mereka berbuat demikian kerana Sabah ini tidak mempunyai sumber hasil yang cukup untuk mereka mencari rezeki di sini?,” katanya lagi.

Oleh itu, beliau menyarankan pengundi memilih parti yang bersih agar dapat membentuk kerajaan yang stabil supaya rakyat negeri sabah tidak lagi tertindas dan dapat menerima hak yang sepatutnya.

— Asreena Yun

Exit mobile version