Site icon Sabah Baru News

146 maut, 150 cedera dalam rempuhan acara Halloween di Seoul

Anggota pasukan penyelamat menunggu dengan pengusung untuk membawa keluar mayat dari lokasi kejadian dalam insiden rempuhan di Seoul, Korea Selatan, 29 Okt 2022. REUTERS

SEKURANG-kurangnya 146 orang terbunuh dalam satu insiden rempuhan ketika orang ramai meraikan Halloween di sebuah kawasan hiburan di Seoul, pada Sabtu malam.

Pada masa sama, 150 orang lagi cedera dalam kejadian yang berlaku di daerah Itaewon di ibu kota Korea Selatan itu, menurut pihak berkuasa Balai Bomba Yongsan.

Kebanyakan yang cedera dilaporkan dalam keadaan serius dan diberi rawatan kecemasan, kata pegawai itu, menurut laporan Reuters.

Ia merupakan acara Halloween pertama di Seoul dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik sekatan COVID dan penjarakan sosial.

Ramai peserta parti menghadirinya dengan memakai topeng dan kostum Halloween.

“Ramai yang terjatuh ketika insiden festival Halloween itu, dan terdapat ramai mangsa yang cedera,” kata Ketua Balai Bomba Yongsan, Choi Sung-beom.

Tambahnya, insiden berlaku berhampiran sebuah kelab malam dan kebanyakan mangsa merupakan wanita berusia 20-an.

Menurut saksi, situasi huru-hara terjadi sebelum rempuhan berlaku, dengan polis dilihat sukar mengawal keadaan.

Salah seorang saksi memberitahu media, keadaan pada malam itu sekurang-kurangnya 10 kali lebih sesak daripada biasa.

Perkongsian di media sosial menunjukkan ratusan orang bersesak di sebuah lorong yang sempit dan curam, serta tidak dapat bergerak ketika anggota kecemasan dan polis cuba menarik mereka keluar untuk diselamatkan.

AWANI

Exit mobile version