Site icon Sabah Baru News

‘Calonkan lebih ramai wanita’

PENAMPANG: Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Julita Majungki berharap parti politik memberi peluang kepada lebih ramai calon wanita bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Beliau berkata, inilah masanya untuk memilih calon wanita kerana jika mereka (calon wanita) menang semasa pilihan raya ini, ia boleh menyumbang kepada 30 peratus penglibatan wanita dalam kerajaan dan politik.

“Sudah tentu kita mahu melihat lebih ramai calon wanita pada pilihan raya ini bukan daripada satu parti sahaja, tetapi daripada semua parti yang bertanding untuk kerusi parlimen.

“Kita selalu mendengar persoalan sama ada 30 peratus penglibatan wanita telah tercapai atau tidak? Jadi inilah masanya untuk memilih wanita yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya oleh semua parti.

“Pada pilihan raya ini, parti politik boleh memilih calon wanita yang layak. Kita ada banyak parti yang akan bertanding dalam pilihan raya ini.. Saya berharap parti-parti akan memberi peluang kepada lebih ramai wanita untuk menjadi calon di kerusi boleh dimenangi.

“Jadi, jika kita benar-benar mengambil berat tentang 30 peratus penglibatan wanita, jangan tunggu sehingga pilihan raya selesai baru mahu bersuara,” katanya semasa majlis penutupan sebuah forum anjuran Tadau Koonduan KDCA yang diadakan di sini, pada Sabtu.

Tambah Julita, sekiranya calon wanita menang dalam pilihan raya, berikan mereka kedudukan untuk menyumbang kepada data penglibatan 30 peratus itu.

Dalam perkembangan lain, Julita yang juga Adun Matunggong merangkap Pembantu Menteri Kewangan berkata, sebagai Setiausaha Agung parti, beliau sudah tentu diarahkan untuk mengetuai rancangan parti dan melaksanakannya bersama-sama jentera parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Dari segi kawasan yang kita tandingi, kita sudah bersedia dan jentera parti kita terutama yang membabitkan wanita juga bersedia bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti.

“Semua jentera parti sedia bekerja untuk bertemu pengundi. Tiada kerja terasing antara jentera parti lelaki kerana kita hanya bekerjasama dengan mereka (lelaki) untuk pilihan raya akan datang,” katanya.

Lebih 100 orang menyertai forum tersebut dan beberapa reruai juga dibuka sepanjang program tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Wanita KDCA Joanna Kitingan dan Unduk Ngadau Kaamatan 2022 Frenerietta Sobitun.

Cynthia D Baga

Exit mobile version