Site icon Sabah Baru News

932,541 pengundi muda di Sabah akan tunai tanggungjawab

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan menyaksikan seramai 932,541 pengundi muda berumur antara 18 dan 39 tahun di Sabah akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada 15 dan 19 November, menurut Majlis Belia Sabah (MBS).

Presidennya Abqaree Fawwaz Abekan berkata jumlah itu mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,689,387 pengundi di Sabah.

Sabah turut mencatatkan jumlah pengundi muda kelima tertinggi di negara ini berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Oktober lalu.

Abqaree bagaimanapun berkata, berdasarkan pemerhatian MBS sepanjang pelaksanaan Program Celik Politik (Undi18) di enam zon di seluruh Sabah tahun ini, dianggarkan kira-kira 70 peratus pengundi muda di negeri itu mempunyai tahap pemahaman politik yang rendah dalam konteks pengetahuan sejarah, parti politik dan kepentingan melibatkan diri dalam arena demokrasi.

“Namun, apa yang jelas adalah hasrat golongan muda di Sabah ketika ini agar suara mereka dibangkitkan oleh pemimpin yang sebaya, lantang dan mampu mendokong aspirasi mereka di peringkat nasional.

“Sehubungan itu, MBS menaruh harapan tinggi agar komposisi Dewan Rakyat selepas PRU15 akan menampilkan sekurang-kurangnya 50-60 peratus ahli parlimen dari kalangan anak muda. Ini akan menggalakkan penyertaan generasi Y dan Z secara langsung ke dalam arena demokrasi negara,” katanya pada sidang media di Arena Belia, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Bahagian Pantai Barat Selatan, di sini Jumaat.

Pada masa sama, mengambil kira sentimen pengundi muda di Sabah yang dahagakan pembangunan ekonomi, infrastruktur dan taraf hidup yang lebih baik seperti di semenanjung, MBS berharap parti politik yang bertanding dapat menawarkan dasar pembangunan yang inklusif, realistik dan berkesan selepas membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

“MBS juga menyeru semua pengundi muda di Sabah memilih pemimpin di kawasan parlimen masing-masing berdasarkan pertimbangan yang adil, saksama dan tidak terpengaruh dengan ucapan berunsur sentimen yang sering dimainkan di mana-mana pentas politik setiap kali pilihan raya,” katanya.

Selaras dengan titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengutuk sekeras-kerasnya amalan rasuah yang berleluasa di negara ini, beliau berkata MBS menggesa pengundi muda di seluruh Sabah menolak calon yang diketahui terlibat dengan rasuah.

“Gesaan ini bertepatan dengan kempen belia di peringkat nasional yang sedang digerakkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) iaitu Belia Pembasmi Rasuah,” katanya. 

– – Larry Ralon

Exit mobile version