Site icon Sabah Baru News

210 geran tanah diedar, 12 perkampungan digazet sebagai rizab kampung

KIULU: Sejumlah 327 ekar geran tanah diserahkan kepada 210 penerima dibawah Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sejumlah 12 perkampungan dengan keluasan 205.6 ekar juga telah digazetkan sebagai rizab kampung.


Katanya, kesemua perkara berkenaan diluluskan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).


Antara kampung terlibat ialah Kampung Nadau, Bayag, Tiku, Logub, Lingga Baru, Parad, Gonipis Lama, Lingga, Poturidong, Mongkonihab, Tiong Tomburung dan Sukang Baru.


“Kerajaan negeri memahami keperluan rakyat dan komited untuk mengeluarkan geran tanah kepada rakyat Sabah kerana ia melibatkan kehidupan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.


“Program PANTAS yang telah dilaksanakan sejak 2011 diteruskan Kerajaan GRS-BN,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pejabat Baharu Daerah Kecil Kiulu, hari ini.


Beliau mengucapkan tahniah kepada masyarakat Kiulu kerana pejabat berkenaan sudah lama ditunggu. 

PECAH TANAH: Hajiji menyempurnakan simbolik pecah tanah untuk pejabat baharu Daerah Kecil Kiulu.


Dalam pada itu, Hajiji turut meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membina bangunan sekretariat Daerah Kecil Kiulu baharu diatas tanah seluas 2.5 ekar yang terletak bersebelahan dengan Dewan Masyarakat.

Katanya, penduduk Kiulu tidak lagi perlu pergi ke Pejabat Daerah Tuaran atau Daerah Kecil Tamparuli untuk tujuan rasmi seperti perihal berkaitan dokumen dan sebagainya.
 
Selain itu katanya, Pejabat Daerah Kecil Kiulu juga boleh memproses dokumen pembangunan projek seperti Senarai Kuantiti (BQ) serta kerja-kerja berkaitan yang lain.
 
Menurutnya, pejabat berkenaan juga boleh menghantar terus permohonan untuk mendapatkan peruntukan pembangunan kepada badan berkaitan.


“Inilah aspirasi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk penduduk Kiulu.


“Pembinaan pejabat ini adalah bukti kerajaan negeri peka terhadap keperluan rakyat Kiulu yang terkenal dengan produk eko pelancongan yang mempunyai 70 pengusaha berdaftar dalam Persatuan Pelancongan Kiulu,” katanya.


Beliau berkata, Kiulu juga terkenal dengan pengeluar padi bukit, nenas, getah, koko dan lada hitam serta ikan menerusi sistem tagal.
Katanya, kekuatan Kiulu menjadi pelengkap kepada agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dalam sektor pelancongan dan pertanian sekali gus memperkasakan perkembangan ekonomi negeri.


Hajiji juga meluluskan permohonan penduduk Kiulu yang mahukan jambatan tinggi untuk Nulu-Mantob dan pembinaan serta naik taraf beberapa jalan raya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version