Site icon Sabah Baru News

PRU15: Takiyuddin beri bayangan Annuar bertanding atas tiket PN

KOTA BHARU: Ketiadaan nama penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi sudah dijangka.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai seorang rakan seperjuangan yang mewujudkan Muafakat Nasional (MN), beliau bersimpati apabila Annuar tidak disenaraikan.

Takiyuddin turut memberi bayangan PN mungkin menawarkan Annuar bertanding di kerusi berkenaan atas tiket PN.

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa

Takiyuddin berkata, akan ada kejutan pada pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Kelantan Rabu malam.

“Tunggu kejutan malam esok (Rabu), siapa di atas pentas nanti.

“Saya simpati pada Tan Sri Annuar, sebagai rakan seperjuangan dan sama sama sebagai Setiausaha Pas dan BN, Annuar merupakan seorang tokoh politik yang disegani dan mempunyai pengetahuan luas.

“Namun pucuk pimpinan UMNO sudah membuat keputusan mengenepikan seorang tokoh politik yang berwibawa.

“Annuar seorang menteri senior dan banyak pengalaman” katanya ketika ditemui pada program perasmian bilik gerakan Dewan Himpunan Pendokong Pas DHPP di sini, Selasa malam.

Annuar pada sidang medianya pagi tadi turut memberikan gambaran bahawa beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat Ketereh dan negara.

– Vivi Sumanti

Exit mobile version