Site icon Sabah Baru News

Zahidi sahkan akan ikut langkah Shahidan Kasim

KUALA LUMPUR: Datuk Zahidi Zainul Abidin yang digugurkan dari senarai calon Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan mengikut langkah Datuk Seri Shahidan Kassim mempertahankan kerusi disandang, iaitu Padang Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Zahidi, mendakwa menerima banyak “lamaran” dari parti lain, bagaimanapun belum memutuskan untuk bertanding atas tiket apa bagi mempertahankan Parlimen Padang Besar.

“Kita akan tengok pada 5 haribulan ini (penamaan calon). Sekarang ada perbincangan dan kita lihat di Parlimen Padang Besar, (pertembungan) amat sengit di antara UMNO dan calon lain.

“Kita belum dapat menjangka siapa akan menang,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Zahidi yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia menyifatkan UMNO kini dalam kecelaruan politik.

Dalam pada itu, beliau juga menjangkakan ramai pemimpin lain yang digugurkan akan tetap bertanding, tetapi belum pasti atas tiket dan logo apa.

Terdahulu beliau digugurkan dari senarai calon mewakili BN seperti yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin.

Pada PRU yang lalu, Zahidi menang menewaskan calon Pakatan Harapan yang diwakili Pas, Izizam Ibrahim dengan majoriti 1,438 undi.

EDITOR

Exit mobile version