Site icon Sabah Baru News

Hajiji sambut baik keputusan PAS Sabah tidak letak calon

KOTA KINABALU – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik keputusan PAS Sabah yang mendukung aspirasi penyatuan nasional dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi parlimen di Sabah pada PRU15.

Malah, tindakan PAS Sabah mengarahkan ahli dan penyokongnya memberikan sokongan kepada mana-mana calon GRS-BN itu menurut Hajiji sesuatu yang signifikan dalam memastikan kemenangan GRS-BN.

“Solidariti atas semangat penyatuan nasional PAS Sabah ini amat signifikan dalam memastikan kemenangan kita pada PRU-15.

“Terima kasih PAS Sabah”, kata Hajiji dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Terdahulu, PAS Sabah menerusi setiausahanya, Dr. Aliakbar Gulasan mengumumkan keputusan parti itu yang dibuat pada 2 November melalui satu mesyuarat antara PAS Sabah dan pimpinan utama PAS Pusat.

Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kedudukan PAS sebagai rakan gabungan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) di Semenanjung.

— Berita Bersatu

Exit mobile version