Site icon Sabah Baru News

Saingan sihat serta mencabar, Azmin yakin pengundi Gombak matang

GOMBAK– Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, optimis pengundi di Parlimen itu akan menggunakan kematangan mereka dalam menentukan calon terbaik untuk dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ditemui media selepas selesai penamaan calon, beliau menghormati semua calon yang bertanding di kerusi itu dan mengakui saingan kali ini sihat serta mencabar.

“Sambutan cukup meyakinkan, namun saya harus terus bekerja kuat dan saya tidak mengambil mudah sebab kematangan pengundi cukup tinggi.

“Mereka ingin melihat calon yang berupaya membentuk kerajaan yang bersih, kuat dan prihatin kepada rakyat.

“Saya ada sedikit jasa di Selangor dengan dasar yang cukup peduli rakyat sebelum ini dan saya mahu meneruskan agenda ini di peringkat Persekutuan,” katanya yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kerusi Parlimen Gombak menyaksikan persaingan lima penjuru, membabitkan Azmin, yang mewakili Perikatan Nasional (PN); calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amiruddin Shari, yang juga Menteri Besar Selangor; Ketua UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din (Barisan Nasional (BN)).

Turut menyertai saingan di kerusi Parlimen itu, calon Gerakan Tanah Air (GTA), yang akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

Dalam pada itu, Azmin menyalahkan PH yang didakwa sudah mengkhianati mandat rakyat pada PRU14 sehingga mengakibatkan kerajaan yang dibentuk daripada gabungan parti itu jatuh pada Februari 2020.

“Kalau saya terus pertahankan PH, itu yang mengkhianati mandat rakyat. Mandat rakyat pada 2018 adalah untuk reformasi dan melakukan perubahan besar ke atas dasar (kerajaan).

“Malangnya, ketika PH berkuasa, pelbagai bentuk tekanan dan kenyataan keras yang menyinggung perasaan, bukan saja orang Melayu, tapi semua kaum.

“Dalam enam PRK (Pilihan Raya Kecil), kita kalah. (PRK) Tanjung Piai, DAP yang menguasai (Dewan Undangan Negeri) Pekan Nenas, kalah. Ini bukti bahawa rakyat Malaysia sudah menolak PH,” katanya.

Berita Bersatu

Exit mobile version