Site icon Sabah Baru News

Isnin hadir majlis doa selamat calon BN Parlimen Beaufort

BEAUFORT: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih hadir pada majlis doa selamat calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching di kediamannya di Kampung Klias Kecil dekat sini.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Beaufort itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dilihat duduk semeja dengan Aminah, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat dan beberapa penyokong BN.


Mereka bersembang hal-hal berkaitan kekeluargaan dan perkembangan politik semasa, selain para penyokong juga mengambil peluang untuk bergambar dengan pemimpin terbabit.

Parlimen Beaufort membabitkan kerusi DUN Klias (BERSATU) dan Kuala Penyu (BERSATU).


Walaupun kedua-dua wakil rakyatnya dari GRS namun kekuatan akar umbi BN yang ditunjangi UMNO di samping kerjasama baik kedua-dua ADUN GRS akan memberi kelebihan kepada BN untuk mempertahankan kerusi parlimen berkenaan.


Sebelum ini, Ag Aslee yang juga Pengerusi BN Bahagian Beaufort mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan atasan kerana memberi kepercayaan kepada BN untuk bertanding di kawasan tersebut.


“Alhamdulillah, usaha kita untuk inginkan kerusi ini ditandingi BN telah dimakbulkan”, katanya.


Sehubungan itu tambahnya, kawasan ini bukan sekadar hasrat untuk bertanding tetapi yang penting penyokong dan rakyat harus mempunyai kesungguhan dan bekerja keras untuk memenangi kerusi berkenaan.


Menariknya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, kedua-dua gabungan BN dan GRS telah memutuskan menjadi rakan dalam menghadapi pembangkang susulan kedua-duanya tidak mahu bertembung dalam saingan pilihan raya kali ini.


Berdasarkan kerjasama itu, GRS dipersetujui untuk bertanding di 13 kerusi parlimen manakala BN pula diperuntukkan 12 kerusi termasuk kawasan Parlimen Beaufort.

Kenneddy Corlleus

Exit mobile version