Site icon Sabah Baru News

KJ ada masa depan yang baik, cuma dia ada dalam parti yang salah

PAGOH– Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin layak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada masa hadapan.

Muhyiddin yang juga penyandang Parlimen Pagoh itu mengakui Khairy mempunyai kredibiliti dan kesungguhan selain cemerlang melaksanakan tugas sebagai menteri.

“Saya fikir mungkin bukan cakap kosong. Dia seorang tokoh yang bagus, malah dalam Kabinet saya pun dia antara orang yang dipercayai.

“Dia menguruskan soal COVID-19 dan sebagainya dengan baik, ada masa depan yang baik, cuma dia ada dalam parti yang salah.

“Tapi tak mengapalah, semua orang mempunyai cita-cita untuk jadi apa sekalipun. Tak perlu tanya kenapa kau nak jadi PM? Itu impian dia. Tapi bila masanya?

“Mungkin dia kena ambil alih UMNO dan jadi presiden. Peroleh jumlah kerusi yang banyak serta boleh membentuk kerajaan ketika itu. Ketika ini dia boleh cakap sahaja, tak salah pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Kampung Panjang Sari, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui Menteri Kesihatan itu layak menerajui negara pada masa hadapan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, langkah pertama adalah Khairy perlu memenangi pilihan raya dan mendapat sokongan majoriti parti terlebih dahulu sebelum dilantik memegang jawatan berkenaan.

Berita Bersatu

Exit mobile version