Site icon Sabah Baru News

Tuan Ibrahim tuntut Rafizi mohon maaf dalam tempoh 7 hari

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Rafizi Ramli dituntut mengemukakan permohonan maaf dan mencadangkan ganti rugi yang perlu dibayar kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kerana didakwa memfitnah berhubung dakwaan kelulusan projek tebatan banjir dibuat selepas pembubaran Parlimen.

Tuntutan itu dibuat melalui tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid bagi pihak Tuan Ibrahim yang dikongsi bersama media hari ini.

Surat itu menyatakan bahawa Rafizi dalam tempoh tujuh hari hendaklah mengeluarkan satu deraf permohonan maaf berkaitan pernyataan fitnah terkandung dalam kenyataan media berkenaan kepada firma guaman untuk diterbitkan segera antaranya di akhbar, laman sesawang atau di media sosial pilihan Tuan Ibrahim.

Dalam tempoh itu juga, Rafizi hendaklah mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah kepada Tuan Ibrahim yang mana jumlah yang dipersetujui perlu dibayar serta-merta selepas kedua-dua belah pihak mencapai persetujuan berkenaan kuantum ganti rugi.

“Kami diarahkan oleh anak guam untuk menuntut bahawa kamu dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaan surat ini, mengeluarkan satu aku janji bertulis kepada firma kami bahawa kamu akan berhenti dari menerbitkan, menulis atau mengeluarkan dalam apa cara sekali pun kenyataan yang serupa.

“Ambil maklum bahawa jika kamu gagal untuk mematuhi tuntutan ini, firma kami mempunyai arahan tegas untuk mengambil langkah selanjutnya yang dianggap perlu tanpa membuat apa-apa rujukan kepada kamu termasuklah untuk memulakan tindakan undang-undang dan/atau mendapatkan perintah injunksi.

“Sekiranya anak guam kami terpaksa memulakan prosiding undang-undang terhadap kamu, tuntutan ini tidak boleh dianggap dan/atau diambil kira untuk mengehadkan tuntutan anak guam kami terhadap kamu,” kata surat itu.

Menurut surat berkenaan, firma guaman itu berkata ia dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim bahawa Rafizi membuat satu kenyataan media secara lisan dan secara bertulis pada 7 November lalu di sebuah premis di Petaling Jaya dengan kehadiran pengamal media.

Surat itu menyatakan bahawa kenyataan media berkenaan antara lainnya mendakwa Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS selaku Menteri Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk meluluskan projek bernilai RM2 billion ringgit kepada satu syarikat bernama Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2.

Ia juga menyatakan bahawa Tuan Ibrahim terbabit dalam penganugerahan projek di bawah Program Jana Wibawa secara rahsia.

Menurut surat tuntutan sembilan muka surat itu, Rafizi mengeluarkan penyataan itu pada 7 dan 9 November lalu dalam sidang media, media sosial, laman webnya dan laman web PKR.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas pada Selasa memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

Beliau menegaskan, tidak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan dan tiada mana-mana pihak yang datang berjumpanya bagi meminta kelulusan RM2 bilion itu.

Tuan Ibrahim juga menggesa Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mempunyai bukti.

Berita Bersatu

Exit mobile version