Site icon Sabah Baru News

Pemberian geran tanah melalui PANTAS adalah usaha BN

PAPAR: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menafikan pemberian geran tanah kepada penduduk kampung yang dilakukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) ketika ini adalah atas usaha Parti Warisan (WARISAN).

Sebaliknya beliau berkata, usaha itu yang dilaksanakan menerusi Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) sejak 2011 adalah atas usaha kerajaan BN sebelum ini.

Katanya, Kerajaan GRS-BN meneruskan usaha yang dilaksanakan kerajaan BN itu bagi memastikan penduduk kampung yang belum memiliki geran tanah mendapat hak mereka masing-masing.

“Tidak guna kita maju tapi ada lagi orang kampung kita yang susah, tiada tanah. Oleh kerana itu kita minta permohonan tanah orang kampung yang sudah lama supaya disukat.

“Namun, WARISAN sebar kononnya itu usaha mereka. Ini satu pembohongan kerana kita sudah ada program PANTAS sejak 2011 lagi, iaitu ketika dalam kerajaan BN.

“Tapi, apabila mereka memerintah, mereka ambil semua usaha yang dilakukan BN, mereka kata itu usaha mereka, ini semua bohong,” katanya pada Majlis Himpunan Jentera Wanita Muafakat GRS-BN Papar, di Kampung Sungai Padang, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Tamin Zainal; ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Seri Panglima Abdul Rahim Ismail, Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan calon GRS kerusi Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, pemimpin parti lawan hanya pandai bercakap dan menganggap apa yang dibuat orang lain adalah salah.

“Beliau apabila berucap ingat dia saja yang pandai dan orang lain salah. Tapi berapa tahun jadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Lumpur, tengok di Semporna, mangsa kebakaran ketika dia menjadi menteri dulupun tidak boleh selesai.

“Kita (kerajaan GRS-BN) yang bagi peruntukan RM8.2 juta untuk membina semula rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kebakaran sebelum ini,” katanya.

Yap Siong Han

Exit mobile version