Site icon Sabah Baru News

PH tolak tuntutan hak Sabah semasa jadi kerajaan: Shafie

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mahu memberikan tuntutan hak Sabah semasa menjadi kerajaan.

Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, semasa PH memerintah, mereka sepatutnya bagi hak Sabah, tapi kenapa kepimpinan PH pada masa itu tidak mahu membawa tuntutan berkenaan ke mahkamah.

Selain itu jelasnya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga tidak memiliki kekuatan dalam PH untuk memperjuangkan tuntutan hak Sabah.

Menurutnya, perjuangan untuk menuntut hak Sabah bukan dinilai dengan membawa perkara itu ke mahkamah semata-mata.

“Selaku Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) kenapa masa itu tolak tuntutan hak Sabah? Kenapa tidak bagi hak Sabah semasa ada kuasa dan kenapa tidak heret sampai ke mahkamah?

“Bila kita bersuara, Christina kata parti tidak benarkan, Kementerian Kewangan tiada duit dan mereka ikut apa yang parti tetapkan dan tidak ikut suara yang menuntut.

“Yang undi mereka (UPKO) bukan Guan Eng, bukan DAP, bukan PH…tapi yang undi mereka adalah rakyat Sabah,” katanya kepada media selepas Program Ceramah Perdana WARISAN Parlimen Penampang di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada media bagi mengulas kenyataan Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick mengenai perjuangan PH menuntut hak Sabah hingga ke mahkamah berbanding perjuangan parti lain di Sabah.

Shafie berkata, dalam PH, UPKO hanya sebuah parti berbanding tiga lagi parti lain iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Justeru katanya, UPKO hanya mengikut apa yang diarahkan oleh parti-parti dalam PH tanpa mampu bertindak sendiri.

“Dalam PH ada tiga parti, ada AMANAH, PKR dan DAP. Jadi bila mereka suruh diam, UPKO pasti akan diam,” jelasnya.

Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version