Site icon Sabah Baru News

Serangan peribadi tidak halang saya majukan Penampang: Chua

PENAMPANG: Serangan peribadi bertalu-talu untuk membunuh peribadi tidak akan menghalang saya daripada memenuhi kehendak rakyat yang mahukan perubahan di kawasan parlimen ini, kata calon GRS Penampang, Kenny Chua.

“Ada orang cuba memburukkan imej saya supaya rakyat di Penampang tidak akan mengundi saya dan GRS. Salah satu daripadanya ialah rakaman audio lama menunjukkan luahan hati saya dalam keadaan marah.

“Tetapi pengundi di Penampang sudah bosan. Mereka mahukan perubahan. Mereka mahu penyelesaian kepada banyak masalah. Saya tawarkan diri untuk memenuhi kehendak mereka,” katanya menambah dia tidak kisah keperibadiannya diserang dan diburukkan.

Chua berkata demikian menjawab rakaman audio tentang kemarahannya yang disebarkan secara meluas melalui WhatsApp. Dalam rakaman audio itu, kedengaran Chua memarahi seseorang yang secara palsu menuduhnya terlibat dalam dadah.

Dia menjelaskan bahawa ia adalah rakaman audio lama, dibuat lebih setahun lalu membabitkan antara dia dan bekas penyokong PBS.

“Sesiapa yang menularkan klip itu jelas cuba memusnahkan imej saya supaya penyokong PBS yang merupakan parti komponen GRS tidak akan mengundi saya.

“Semua anggota jentera pilihan raya GRS, termasuk PBS bersemangat tinggi dan bekerja keras sebagai satu pasukan yang padu untuk memenangi Penampang untuk rakyat,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat laporan polis mengenai rakaman audio itu pada Ahad.

Chua bagaimanapun memohon maaf jika audio itu menyinggung perasaan dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Dia mengecam sebarang tindakan untuk mensabotaj kempennya hingga menimbulkan permusuhan di kalangan parti komponen GRS.

Chua berkata walaupun menjadi underdog, GRS mendapat sokongan padu daripada rakyat di parlimen termasuk di Kepayan yang dikenali sebagai kubu kuat DAP dan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, ada petunjuk kukuh bahawa majoriti pengundi Cina di DUN itu akan mengundi seseorang yang mereka boleh kenal pasti dengan mereka.

“Salah satu isu utama di Kepayan adalah rakyat jarang melihat ahli parlimen dan wakil rakyat mereka. Mereka hanya berjumpa dengan mereka di majlis-majlis khas itupun dengan menghantar wakil mereka.

“Mereka kata kita boleh mengadu tentang banjir, kesesakan lalu lintas, kekurangan pembangunan dan peluang di Penampang. Tetapi semua ini tidak akan selesai jika mereka tidak dapat bertemu dengan wakil rakyat mereka,” katanya.

Sebagai Sino-Kadazan, Chua berkata beliau boleh merasa aspirasi dengan penduduk majoriti Cina di Kapayan dan orang Kadazan di Moyog yang mana kedua-dua DUN berada dalam parlimen Penampang.

Jika Chua memenangi kerusi itu, beliau akan menjadi ahli parlimen Sino-Kadazan pertama bagi Penampang.

Sementara itu, ramai orang di Penampang yang mendengar ucapan Kenny semasa kempennya berkata, Penampang memerlukan pemimpin yang kuat dan lantang di parlimen.

“Penampang adalah daerah yang sudah melahirkan ramai orang yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan dalam sektor swasta serta ahli perniagaan yang berjaya dalam dunia perniagaan.

Mereka berkata, ramai penduduk daerah ini yang pintar yang memahami cara kerja sesebuah kerajaan. Mereka mempunyai wawasan bagaimana Penampang sepatutnya boleh maju.

“Perwatakan Chua sesuai dengan jenis pemimpin yang diharapkan oleh penduduk Penampang. Mereka mahukan seseorang yang berani bersuara. Dan yang paling penting, seseorang yang mampu bekerja dan menunaikan janji,” kata seorang bekas penjawat awam kanan.

EDITOR

Exit mobile version