Site icon Sabah Baru News

Fokus pembangunan usahawan belia: MARA

SANDAKAN: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mahu usaha pembangunan belia diteruskan seiring dengan pembangunan keusahawanan, pendidikan, pengurusan dan khidmat pengurusan yang sudah menjadi fokus MARA sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata MARA turut mempunyai pembiayaan khusus untuk belia bagi tahun 2022.


“Kita ada skim pembiayaan PUTRA khas untuk belia yang mana kemudahan ini adalah berkaitan pembiayaan kepada perniagaan mikro untuk semua sektor seperti peruncitan, pembuatan dan perkhidmatan.


“Skop pembiayaan ini adalah secara modal pusingan, pembelian mesin dan peralatan. Setakat ini seramai 546 usahawan belia sudah menerima manfaat dengan nilai keseluruhan kelulusan bagi seluruh negeri Sabah ialah RM4.76juta,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Program Lawatan Kerja Pengerusi MARA ke Daerah Sandakan di sini, hari ini.

Menurut Azizah lagi, MARA juga menyediakan Skim Pembiayaan Semai  bagi pelajar lepasan Institusi Pendidikan Mara (IPMa).


“Kita menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan kepada lepasan IPMa bagi menjalankan perniagaan yang bersifat komersil.


“Skop pembiayaan ini adalah bagi modal pusingan, pembelian mesin dan peralatan serta ubah suai premis perniagaan.


“Hingga kini kita sudah ada 66 usahawan yang menerima manfaat dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2.23 juta di seluruh negeri,” katanya.


Tambah Azizah lagi, pembiayaan khusus beliau juga disediakan bagi mereka yang mempunyai kemahiran teknikal.

“Skim Pembiayaan Program Usahawan Teknikal Belia (PUTEK) bertujuan untuk mewujudkan usahawan baharu dalam bidang teknikal yang berasaskan kepada kemahiran yang dimiliki.


“Skop pembiayaan meliputi pembelian mesin dan peralatan, modal pusingan bagi usahawan baharu merangkumi 60 peratus pembiayaan dan 40 peratus geran.


“Sehingga kini 58 usahawan seluruh negeri Sabah sudah menerima manfaat dengan nilai keseluruhan kelulusan sebanyak RM5.33 juta,”jelasnya lagi.


Dalam pada itu, Azizah turut menyeru semua yang terlibat dalam bidang keusahawanan untuk memperkasa pengetahuan dalam bidang itu.


“Bidang ini perlu minat dan komitmen yang tinggi, perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan tentang selok belok perniagaan.


“Pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran akan sangat membantu usahawan untuk  menentukan hala tuju perniagaan mereka.


“Selain itu, pengetahuan dan kemahiran dalam aplikasi teknologi yang bersesuaian dengan perniagaan mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk serta perkhidmatan yang diusahakan.


“Usahawan juga perlu mempunyai ketahanan dan kesabaran apabila berdepan dengan cabaran,” ujar beliau lagi.


Azizah turut menyampaikan sumbangan Yayasan Pendidikan Mara (YPM) kepada 30 pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Fuad Stephens Sandakan, pelajar daerah Batu Sapi dan pelajar daerah Beluran.

Kenneddy Corlleus

Exit mobile version