Site icon Sabah Baru News

Kajian mengenai perkhidmatan feri Pulau Bum-Bum – Semporna

Hajiji (tujuh kiri) diapit Nixon Abdul Habi (kiri) dan Abdul Aziz Ibnu (kanan) pada program bertemu rakyat di Semporna hari ini.

SEMPORNA: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, perkhidmatan feri dari tanah besar Semporna ke Pulau Bum-Bum akan dipertimbangkan secara serius sementara menunggu cadangan jambatan Pulau Bum-Bum menjadi kenyataan.

“Saya akan berbincang dengan JKR (Jabatan Kerja Raya) dan EPU (Unit Perancang Ekonomi) untuk melihat sama ada kita boleh memulakan perkhidmatan feri untuk memenuhi keperluan penduduk di Pulau Bum-Bum,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan feri itu akan memberi manfaat kepada penduduk di pulau yang luas itu.

Mengenai cadangan jambatan itu, beliau berkata, ia sudah lama tetapi kali ini beliau akan membawa perkara itu kepada Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya calon GRS-BN memenangi pilihan raya di sini, saya sendiri akan mengemukakan permohonan itu kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi bertemu rakyat di Hotel Grand Wing Tat, di sini, hari ini.

Bersamanya ialah calon GRS bagi Semporna, Nixon Abdul Habi dan calon BN bagi kerusi DUN Bugaya, Abdul Aziz Ibnu.

Hajiji yang merupakan Pengerusi GRS berkata, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah bercakap mengenai Reset Sabah tetapi baginya, beliau percaya Reset Semporna perlu dibuat terlebih dahulu.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan yang lama yang sama tetapi melihat ke hadapan untuk masa depan yang lebih cerah. Kita mesti sempurnakan Semporna (kita mesti menjadikan Semporna sempurna),” katanya.

Kerajaan Negeri GRS-BN akan melihat untuk menyelesaikan masalah dan isu dihadapi rakyat di sini yang telah diketengahkan oleh calon GRS Semporna termasuk isu infrastruktur di Kampung Simunul dan Kampung Bangau-Bangau yang telah wujud sekian lama.

“Jika beliau (Shafie) tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut maka biarlah Kerajaan GRS-BN menyelesaikannya,” katanya.

Hajiji berkata, ia melibatkan kesejahteraan rakyat, yang merupakan antara tonggak utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri GRS-BN.

“Kita mempunyai agenda besar untuk Semporna dan Sabah. Kita menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan kita kini dalam perjalanan yang baik.

“Tahun lepas hasil negeri ialah RM5.449 bilion (yang terbesar dalam sejarah) dan tahun ini akan melebihi RM6 bilion,” katanya.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri GRS-BN tidak akan berputus asa dalam usaha membawa pembangunan dan kemajuan kepada Sabah dan rakyatnya menerusi Hala Tuju SMJ.

Lebih penting lagi, katanya, Nixon Abdul Habi adalah calon yang disokong Kerajaan GRS-BN yang bertujuan untuk membawa kemajuan yang amat diperlukan ke daerah itu.

Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasneh dan beberapa bekas wakil rakyat iaitu Datuk Nasir Sakaran, Datuk Abdillah Hamid dan Datuk Basali Hamid serta ketua masyarakat setempat yang lain.

wartaoriental

Exit mobile version