Site icon Sabah Baru News

Rakyat perlu ingat warisan hampir musnah ekonomi Sabah: Ceasar

PENAMPANG: Rakyat Sabah menderita kerana kelembapan ekonomi ketika pemerintahan kerajaan Warisan pada 2018. Namun menyedarinya, mereka menyingkirkan Warisan dan rakan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya Sabah 2020.

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Penampang Ceasar Mandela Malakun berkata, Sabah tidak lupa bagaimana kerajaan Warisan hampir memusnahkan ekonomi negeri dengan mengecutkan KDNK Sabah daripada paras tertinggi 8.2 peratus pada 2017 kepada -9.2 peratus pada 2020.

“Rakyat Sabah menyelamatkan negeri ini dengan mengundi pemimpin yang boleh pulihkan ekonomi. Dalam hanya tempoh 15 bulan, kerajaan negeri GRS-BN berjaya mengembalikan ekonomi Sabah ke landasan yang betul.

“Tahun lalu selepas aliran menurun ekonomi yang berterusan semasa kerajaan Warisan, Sabah berjaya membawa semula KDNKnya pada tahap hijau pada 1.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah itu berkata, tiada maknanya Presiden Warisan Shafie Apdal berhujah sepanjang hari menafikan ekonomi Sabah merosot bukan salahnya pada 2020.

“Beliau boleh berhujah sepanjang hari yang kemeleseten ekonomi bukanlah salahnya kerana seluruh negara turut mengalami KDNK negatif ketika itu.

“Bagaimanapun Shafie terlupa menyebut, antara semua negeri di Malaysia, rekod Sabah adalah yang paling teruk. Malah Kelantan hanya mencatatkan pertumbuhan KDNK -1.2 peratus. KDNK Sabah jauh lebih teruk daripada purata negara -5.5 peratus,” tegasnya.

Hakikat bahawa kerajaan negeri berjaya memulihkan ekonomi kepada pertumbuhan KDNK 1.1 peratus tahun lalu adalah satu keajaiban, kata Ceasar.

Katanya, Shafie mengabaikan petunjuk ekonomi sebaliknya memberi tumpuan kepada perkara seperti Yayasan Sabah memberi biasiswa kepada pelajar seolah-olah pemberian itu hanya bermula pada 2018 semasa Warisan memerintah.

“Amaran mengenai kemelesetan 2023 sudah diramalkan. Penting bagi kita untuk tahu mengenai pertumbuhan KDNK Sabah kerana ia adalah petunjuk terpenting ekonomi Sabah,” katanya.

Ceaser kini yakin Sabah mampu mengatasai masalah ekonomi kerana mempunyai pemimpin yang berwawasan dan tahu memimpin Sabah.

Melalui pelan hala tuju Sabah Maju Jaya, sebanyak 584 inisiatif merangkumi 304 inisiatif teras dan 280 pemboleh telah dirangka untuk dilaksanakan sejak 2021. Kerajaan akan terus menambahnya bergantung kepada kemajuan pelan induk itu.

“Di bawah kerajaan GRS-BN, Sabah kembali ke landasan. Hasil Sabah mencecah rekod mencecah RM5.449 bilion pada 2021 dan tahun ini hasil negeri kita diunjurkan melebihi RM6 bilion,” katanya.

Menurut Ceaser, tugas kerajaan belum selesai kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk kebaikan Sabah dan rakyatnya.

“Cuma yang kami perlukan sekarang ialah sokongan anda, undi anda agar Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025 dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

EDITOR

Exit mobile version