Site icon Sabah Baru News

Arahan lapor diri setiap tiga bulan, elak ketirisan bantuan JPKA 

KOTA KINABALU: Arahan supaya semua penerima bantuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) melaporkan diri ke pejabat kebajikan daerah setiap tiga bulan, bagi mengelakkan berlakunya ketirisan atau terlebih bayar kepada penerima yang tidak layak atau meninggal dunia.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya berkata, sistem yang mengemas kini maklumat data penerima secara automatik akan mengeluarkan nama penerima jika gagal melapor diri dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, sistem berkenaan akan mengeluarkan nama penerima secara automatik tanpa mengambil kira sama ada penerima masih memerlukan bantuan atau sebaliknya. 

Menurutnya, proses semakan semula penerima akan dibuat selepas tamatnya tiga bulan sekiranya terdapat aduan diterima oleh Pejabat Kebajikan Daerah, bagi menentukan sama ada penerima itu masih layak dan sesuai diteruskan bantuan atau sebaliknya. 

“Sekiranya bekas penerima masih layak atau sesuai untuk menerima bantuan, JPKA akan mengaktifkan semula penerima dalam sistem. Justeru, pengemaskinian data penerima dalam sistem berkenaan memadai buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Arsad Bistari (UMNO-Tempasuk) mengenai inisiatif kerajaan untuk mengemas kini sistem permohonan bantuan kebajikan berikutan terdapat penerima yang terkeluar daripada sistem sedangkan mereka masih memerlukan bantuan.

Shahelmey turut menasihatkan kepada semua penerima bantuan JPKA supaya mengambil maklum kepentingan dan keperluan untuk melapor diri sebelum tamat tempoh tiga bulan.

Menurutnya, para penerima perlu memperbaharui permohonan bantuan sebelum tamat tempoh sama ada dalam tempoh 24 bulan untuk Bantuan Kebajikan Negeri atau 12 bulan untuk Bantuan Kebajikan Persekutuan.

Bagaimanapun jelasnya, selain penerima, wakil penerima yang sah juga boleh berhubung dengan Pejabat Kebajikan Daerah untuk mengemas kini maklumat penerima sama ada secara fizikal atau secara talian.

“Ingin saya berkongsi maklumat di sini, berdasarkan teguran daripada Audit negara, sehingga September 2022, kita masih mempunyai kes terlebih bayar sejumlah 61 orang.

“Sehubungan itu, dengan mengambil kira teguran daripada Audit Negara, sistem pemakluman ini dilaksanakan bagi memastikan tidak ada ketirisan berlaku dalam pembayaran bantuan kepada penerima,” katanya.

Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version