Site icon Sabah Baru News

RM134.59 juta diperuntukkan untuk pelancongan di Sabah 2023

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berada dalam landasan tepat untuk memulih serta memperkasakan sektor pelancongan menerusi pelbagai program pada tahun hadapan.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu mampu dicapai berikutan peruntukan berjumlah RM134.59 juta akan disalurkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.


Katanya, peruntukan itu termasuklah menaik taraf kemudahan pelancongan dan pembangunan modal insan untuk pelancongan berasaskan komuniti.


“Saya juga telah mengumumkan Biro Konvensyen Sabah (SCB) diwujudkan dan beroperasi sepenuhnya tahun hadapan.


“SCB akan mempercepatkan perkembangan industri pelancongan menerusi pelancongan berasaskan program perniagaan bagi menjadikan Sabah sebagai destinasi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran. 


“Kesemua ini akan menjana pelbagai aktiviti ekonomi sekali gus memberi manfaat kepada sektor perhotelan, pengangkutan, penerbangan serta berkaitan,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Persidangan Pelancongan Dunia 2022 di sini, hari ini.
 
Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.


Hajiji berkata, tema persidangan ‘Tourism Futures Reimagined’ adalah tepat pada masanya. Sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022, Malaysia dan Sabah khususnya tidak pernah berhenti untuk mempercepatkan pembangunan terutamanya dalam sektor pelancongan.


“Saya juga gembira mengetahui bahawa para peserta dalam persidangan ini akan bersama-sama menwujudkan strategi untuk memulihkan sektor pelancongan.


“Sektor pelancongan Sabah terjejas teruk akibat Pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu. Pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan negeri untuk berhadapan dengan cabaran ini.


“Kerajaan negeri juga telah menyalurkan sejumlah peruntukan untuk memastikan pembangunan industri pelancongan berkembang seterusnya kita dapat melihat bahawa pendapatan daripada sektor ini meningkat dalam pasca pandemik,” katanya.


Hajiji juga gembira usaha memperkasakan komuniti tempatan menerusi program pelancongan berasaskan komuniti luar bandar membuahkan hasil. Ia terus menguatkan sektor pelancongan dan berkembang mampan di seluruh negeri.
Katanya, program berkenaan menyediakan peluang kepada kerajaan untuk memperkasakan produk pelancongan berkenaan.


“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan tawaran produk pelancongan di Sabah tetapi turut meningkatkan taraf kehidupan masyarakat setempat,” katanya.


Hajiji berharap para peserta dalam persidangan ini mengambil kesempatan untuk menikmati pameran pelancongan berasaskan komuniti yang turut diadakan sempena program ini.


Katanya, lebih 100 pengusaha telah membangunkan perniagaan masing-masing sejak projek perintis pelancongan berasaskan komuniti dilaksanakan di Kadamaian, Kota Belud dan Kiulu pada 2014.


“Kita juga berbangga kerana Koperasi Eko-Pelancongan Masyarakat Batu Puteh dan Inap desa Walai di Sandakan baru-baru ini dipilih sebagai salah satu pemenang di UNWTO’s inaugural Best Tourism Villages award (2021),” katanya.

Yap Siong Han

Exit mobile version