Site icon Sabah Baru News

Ingatkan kain buruk, rupanya mayat

ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat dalam semak di Lorong Cempaka, Kampung Sungai Kajang, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin 

Tanjong Karang: “Mulanya saya perasan ada ‘kain buruk’ dan ingatkan kain rentang (jual tanah lot) yang dibuang. Apabila didekati, rupanya ada mayat terbaring kaku,” kata Toriman Marsaid. 

Toriman, 66, adalah individu pertama yang menemukan mayat seorang lelaki dalam semak di Lorong Cempaka, Kampung Sungai Kajang, di sini, hari ini. 

Menurutnya, sebelum itu, dia dalam perjalanan ke sebuah kedai makan dengan menunggang basikal. 

“Apabila melalui lokasi kejadian, saya kemudiannya teringat ada kawan tanya nombor telefon individu mahu jual tanah lot di sekitar Kampung Sungai Kajang. Jadi, saya tolong carikan kain rentang tetapi tiada. 

“Kemudian, saya pergi minum dan sewaktu patah balik (ke tempat sama), sekali lagi saya mencari kerana tidak berpuas hati di mana kain rentang itu berada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Toriman berkata, dia segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 berhubung penemuan mayat itu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit. 

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya masih belum mengetahui punca sebenar kejadian. 

“Kita akan siasat dulu kes itu sama ada membabitkan jenayah atau kemalangan. 

“Punca sebenar kejadian akan diketahui selepas keputusan proses bedah dikeluarkan,” katanya.

hmetro

Exit mobile version