Site icon Sabah Baru News

Sabah telah berjaya capai sasaran ketibaan pelancong untuk tahun ini – Joniston

Joniston Bangkuai

KOTA KINABALU: Sabah telah berjaya mencapai sasaran ketibaan pelancong tahun 2022 iaitu sebanyak 1.3 juta pelawat dalam hanya tempoh sepuluh bulan, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai. 

Menurutnya, setakat bulan lalu, Sabah telah menerima seramai 1,356,056 jumlah pelawat dengan anggaran RM2.4 bilion perbelanjaan pelancongan. 

“Ini merupakan satu peningkatan yang besar iaitu sebanyak 752.9 peratus berbanding tahun sebelum ini. Pecahan ini terbahagi kepada sektor pelancongan domestik yang sememangnya menjadi penyumbang yang terbanyak iaitu seramai 1,180,050 pelawat manakala pelancong antarabangsa direkodkan seramai 176,009 orang. 

“Peningkatan yang ketara ditunjukkan bagi beberapa pasaran antarabangsa seperti negara Singapura, Brunei dan beberapa pasaran Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Belanda yang telah mencapai 43 peratus sehingga 65 peratus daripada paras pra pandemic,” katanya ketika mengulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Joniston berkata, trend peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri Sabah sejak pembukaan pintu sempadan bulan April lepas adalah didorong oleh jaringan pengangkutan udara yang semakin positif dan memberangsangkan.

Pada ketika ini katanya, Sabah telah menerima sejumlah 354 penerbangan domestik dengan kapasiti 57,991 tempat duduk setiap minggu daripada Kuala Lumpur, Johor Bahru, Penang, Kota Bahru, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mulu. 

Manakala bagi penerbangan antarabangsa, Sabah telah dihubungkan dengan penerbangan terus daripada lima destinasi antarabangsa iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan, Incheon, Manila dan juga Bangkok dengan jumlah keseluruhan sebanyak 47 penerbangan seminggu dan kapasiti sejumlah 8,558 tempat duduk.

“Sabah juga dijangkakan akan memperoleh perkhidmatan penerbangan antarabangsa tambahan daripada Taipei, Narita, Busan dan Hong Kong mulai Disember 2022. Ini akan menambah rangkaian penerbangan daripada 47 kepada 71 penerbangan seminggu mulai Januari tahun hadapan. 

“Bagi sektor penerbangan domestic pula Sabah dijangka akan mempunyai tambahan perkhidmatan penerbangan baru daripada MY Airline yang dijangka akan memulakan penerbangan 2 kali sehari mulai 1 Disember ini.

“Pengembangan rangkaian udara akan terus menjadi agenda terpenting pada tahun hadapan dan pelbagai inisiatif dan insentif yang telah dirancang tahun ini akan diteruskan pada tahun hadapan untuk menyokong dan menggalakkan syarikat penerbangan memulakan semula laluan udara yang terhenti, membuka laluan udara baharu mahupun mengadakan penerbangan sewa khas ke Sabah,” jelasnya.      

Joniston berkata, sepertimana dalam ucapan bajet Ketua Menteri, pembangunan pelancongan luar bandar akan tetap menjadi komitmen kerajaan sebagai usaha untuk memperkasa eko pelancongan berasaskan komuniti di daerah-daerah yang berpotensi. 

Katanya, dengan pengiktirafan berprestij ‘mahkota-tiga serangkai’ ataupun Triple Crown yang dianugerahkan kepada Sabah yang melibatkan Tapak Warisan Dunia Kinabalu, Rizab Biosfera dan Manusia Banjaran Crocker, dan Geopark Global Kinabalu menjadi indikator kepada Kementerian di mana pembangunan hendaklah selari dan seiring dengan pemuliharaan serta pemeliharaan alam semulajadi.  

“Sehubungan itu, Kementerian saya menzahirkan penghargaan terima kasih di atas peningkatan bajet dibawah Program Pembangunan Pelancongan Luar Bandar bagi tahun 2023 iaitu sebanyak RiM 6 juta. Peruntukan ini akan Kementerian saya gunakan untuk melaksanakan program-program komuniti serta pembangunan dan penaiktarafan produk pelancongan dan fasiliti kemudahan asas di destinasi-destinasi pelancongan demi keselesaan dan peningkatan mutu perkhidmatan kepada para pelancong. 

“Ini perlu untuk membantu komuniti luar bandar mendapatkan pengiktirafan dibawah ‘ASEAN Tourism Standards (Community Based Tourism and Homestay) dan juga mencapai ‘Sustainable Development Goals’,” katanya.

Kementerian juga berharap agar peruntukan bagi pembangunan pelancongan luar bandar ini dapat ditambah lagi pada tahun hadapan memandangkan sektor pelancongan adalah merupakan antara sektor yang menjadi keutamaan dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata Kementeriannya juga mengucapkan sekalung penghargaan terima kasih dengan pewujudan Biro Konvensyen Sabah (SCB) yang akan berfungsi sebagai peneraju industri business eventsnegeri Sabah. 

“Penubuhan Biro ini sememangnya akan mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi serta manfaat kepada pelbagai sektor. Sepertimana penganjuran acara berprestij yang diadakan di negeri pada tahun ini iaitu Asian Park Kongres dan juga World Tourism Conference (WTC) yang dihadiri lebih 1,000 orang peserta merangkumi pakar penyelidik, para pemain industri pelancongan dari luar negara dan dalam negara.

“Justeru, dengan adanya Biro ini yang akan menjadi medium organisasi dalam menarik pelbagai program business events untuk dianjurkan di Sabah,” ujarnya. 

Kebudayaan dan khazanah warisan

Joniston berkata, bagi menjadikan Sabah sebuah negeri yang kekal aman dan unik serta memacu pembangunan pelancongan berasaskan budaya, Kementeriannya melalui Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah akan memperluaskan serta memperkasa Garis Panduan Protokol Budaya Komuniti (CCP) kepada komuniti luar bandar untuk menggalakkan pemuliharaan budaya agar dapat diintegrasikan dengan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti. 

“Hubungan etnik yang harmoni merupakan kunci keamanan dan kemakmuran sesebuah kerajaan khususnya negeri yang mempunyai pelbagai etnik dan agama,” katanya. 

Selain itu, katanya, Kementerian juga akan meneruskan projek pemetaan budaya yang akan melibatkan 11 etnik di empat zon di Sabah. 

Secara keseluruhannya projek pemetaan ini telahpun meliputi 18 etnik dan Kementerian merancang untuk memohon tambahan peruntukan dibawah Kajian Separuh Penggal untuk meneruskan kajian bagi etnik-etnik yang lain. 

“Di bawah program Pelancongan Budaya Bersepadu, kementerian saya juga akan memperbanyakkan program pengalaman budaya di seluruh Sabah kepada para pelancong yang berkunjung di negeri ini,” jelasnya.  

Kementerian juga menyambut baik peruntukan yang diumumkan oleh Ketua Menteri kepada Jabatan Muzium Negeri Sabah pada tahun 2023, katanya sambil menambah, dengan peruntukan ini, pelbagai program, aktiviti dan pembangunan akan dapat dilaksanakan demi meningkatkan kesedaran dan kepentingan warisan khazanah yang tidak ternilai dapat dilindungi malah berpotensi meningkatkan pendapatan dari limpahan ekonomi ini..   

Alam sekitar

Joniston berkata, usaha Kementerian dibawah Taman-Taman Sabah untuk memperluaskan kawasan terlindung akan dipergiatkan lagi pada tahun hadapan disamping usaha untuk mewartakan Taman Pulau Mantanani, Kota Belud dan Taman Teluk Darvel, Lahad Datu tidak lama lagi. 

“Kementerian saya juga melalui Taman-Taman Sabah sedang dalam usaha untuk mewartakan semula kawasan tapak bekas Lombong Mamut seluas 5,219 ekar atau 2,112 hektar ke dalam Taman Kinabalu. Selain itu juga Taman-Taman Sabah juga berhasrat untuk menyasarkan kawasan terlindung melibatkan Tanah Tinggi Long Pasia, Sipitang dan kawasan hutan di sepanjang rizab jalan Keningau-Kimanis, Papar di Taman Banjaran Crocker. 

“Dengan terlaksananya usaha dan insiatif ini secara langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri yang lebih serius dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam semulajadi. Pada masa yang sama, limpahan ekonomi akan turut dirasai dan dinikmati oleh komuniti-komuniti di dalam kawasan yang diwartakan,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementeriannya akan sentiasa menekankan pematuhan prinsip pembangunan yang mampan dalam pelaksanaan pembangunan sosial dan ekonomi agar kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat di Sabah di kekalkan. 

Sabah amat bertuah mempunyai Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah serta Pelan Tindakan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah yang membawa kepada pelaksanaan prinsip pembangunan mampan, katanya, sambil menambah pada tahun hadapan, Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Sabah akan melakukan beberapa projek kajian termasuklah kajian semula pelan pengurusan pesisir pantai Sabah. 

Ini akan menjadikan nilai tambah kepada negeri terhadap pengurusan pesisir pantai yang komprehensif, jelasnya. 

“Kementerian saya juga sentiasa bekerjasama dengan sektor swasta dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. 

“Pada Jun 2022 lepas, Kementerian saya melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Sime Darby Plantation (Sabah) Sdn. Bhd. yang bertujuan untuk menggalakkan Sime Darby melaksanakan pematuhan kendiri ke atas Perjanjian Syarat-syarat Alam Sekitar serta menyampaikan program kesedaran alam sekitar dari masa ke semasa,” kata Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

wartaoriental

Exit mobile version