Site icon Sabah Baru News

Usaha tarik lebih banyak pelaburan ke Sabah akan dilipat gandakan – Mohd. Tamin

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian akan terus melipat gandakan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan terutamanya pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri ini dan juga pelabur dalam negeri. 

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Haji Mohd. Tamin Zainal berkata, momentum penerimaan pelaburan di Sabah dijangka akan terus meningkat pada penghujung tahun ini dan tahun hadapan (2023) dengan usaha Kerajaan Negeri dalam menarik lebih banyak pelaburan terutamanya pelaburan langsung asing (FDI) menerusi strategi-strategi yang telah dirangka melalui Kementerian.

“Kerajaan Negeri telah menerima pelaburan dari syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd daripada Korea Selatan dan syarikat Kumpulan Kibing daripada China iaitu masing-masing dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.2 Billion dan RM2 Billion.

“Setakat ini status kemajuan pembinaan kilang kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd adalah pada kadar 48.3 peratus yang dijangka akan siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2023.

“Manakala, status kemajuan pembinaan kilang pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi syarikat Kumpulan Kibing adalah pada kadar 14% yang dijangka akan siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2023. 

“Bagi pembinaan kilang pempopresan pasir silika syarikat Kumpulan Kibing di Sikuati Kudat, kelulusan Pelan Pembangunan (DP) telah diberikan kepada pihak pelabur untuk memulakan pembinaan kilang tersebut. Selain itu, tawaran kelulusan bagi Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah dikemukakan kepada pihak pelabur bagi aktiviti pengekstrakan pasir silika.

“Lebih 400 peluang pekerjaan akan diwujudkan apabila kilang kerajang tembaga (copper foil) syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd ini siap sepenuhnya. Manakala, sebanyak 2,100 peluang pekerjaan akan dimanfaatkan oleh rakyat di negeri ini apabila kilang pemprosesan pasir silika di Kudat dan kilang pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi syarikat Kumpulan Kibing ini siap sepenuhnya,” katanya ketika menggulung untuk Kementerian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Menurut Mohd. Tamin, Kerajaan Negeri bakal menerima pelaburan langsung asing (FDI) baharu daripada sebuah syarikat gergasi pembuatan besi yang berpangkalan di Singapura. 

Katanya, inisiatif pelaburan ini merangkumi pembangunan kilang pembuatan besi dan pembinaan jeti persendirian di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Inisiatif pelaburan yang sedang diselaraskan oleh Kementerian saya ini dijangka akan menjadi pelaburan yang terbesar bakal diterima oleh Sabah dengan sebanyak 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan semasa fasa pembinaan dan 1,752 peluang pekerjaan bakal dimanfaatkan oleh rakyat di negeri ini semasa fasa pertama pengoperasian kilang tersebut.

“Kementerian saya telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas (Task Force) yang ahlinya terdiri daripada agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memudahcara dan menyelaras keperluan-keperluan syarikat pelabur tersebut untuk memastikan agar cadangan pelaburan ini dapat direalisasikan dengan segera. 

“Jawatankuasa Khas ini sedang giat mengadakan perbincangan bersama syarikat pelabur tersebut sejak bulan Oktober 2022 dan perkara berkaitan kadar sewa tanah di SOGIP telah dimuktamadkan. Perjanjian Sewaan Tanah di SOGIP di antara Sabah Oil & Gas Developement Corporation (SOGDC) dan syarikat pelabur tersebut telah ditandatangani pada pagi ini,” katanya.

Tambahnya, inisiatif pelaburan berimpak tinggi seumpama ini sudah pasti akan mewujudkan limpahan ekonomi kepada Sabah yang akan dapat dirasai oleh rakyat di negeri ini di samping mampu meningkatkan sosio-ekonomi rakyat  terutamanya di daerah Sipitang dan daerah sekitar.

Katanya, sektor perindustrian dan menarik pelaburan masuk ke Sabah adalah merupakan tonggak utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini di samping untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

“Saya menyeru serta memohon agar semua Ahli Yang Berhormat, Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta sektor swasta untuk terus bekerjasama dan memberikan sokongan kepada Kementerian saya agar semua cadangan pelaburan dapat direalisasikan demi pertumbuhan ekonomi negeri ini serta manfaat bersama,” kata Mohd. Tamin.

wartaoriental

Exit mobile version