Site icon Sabah Baru News

Kerajaan GRS-BN lakar legasi baharu, pungutan hasil RM6.18b

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) melakar legasi baharu dengan pungutan hasil yang telahpun mencecah sebanyak RM6.18 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Menteri Kewangan berkata, ini membuktikan bahawa pengurusan kewangan negeri telah diurus dengan baik dan usaha-usaha mengutip Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil telah pun dilaksanakan dengan jayanya.

“Dengan jentera pentadbiran yang cekap dalam pengurusan kewangan, Kerajaan Negeri juga telah mengekalkan “Sijil Tanpa Teguran” bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri yang telah diiktiraf oleh Jabatan Audit Negara,” kata ketika menggulung untuk Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.

Ketua Menteri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan setiap pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas komitmen dan dedikasi yang telah diberikan sehingga kita berjaya mencapai prestasi cemerlang sehingga pada hari ini.

“Ini adalah berkat usaha Kerajaan Negeri yang tidak pernah berputus asa untuk merangka strategi baharu bagi meningkatkan pungutan hasil dan memastikan hasil negeri terus mampan, walaupun di kala kemerosotan ekonomi yang melanda negara,” kata Hajiji.

Ketua Menteri juga mengulas tentang kejayaan pemeteraian perjanjian di antara Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dengan Syarikat Esteel Enterprise Pte Ltd (Esteel) dari negara Singapura yang melibatkan pelaburan pembinaan Taman Industri Keluli Hijau bersepadu di dalam Sipitang Oil and Gas Industrial Park (Sogip) dengan nilai pelaburan sebanyak 4.39 billion USD (RM 19.6 bilion).

“Projek ini melibatkan tiga fasa yang bermula pada suku ketiga tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2025. Ini termasuklah pembinaan pelbagai kemudahan seperti loji kepekatan besi, loji pelet, jeti dan kemudahan sokongan.

“Dengan ini sekali lagi sukacita saya tekankan bahawa kesan limpahan daripada projek ini dijangka mampu menghasilkan pertumbuhan ekonomi dengan menawarkan peluang-peluang pekerjaan yang melibatkan seramai 10 hingga 15 ribu orang ketika pembinaan, manakala dijangkakan sebanyak 1,752 hingga 5,455 peluang pekerjaan ketika beroperasi sepenuhnya.

“Kejayaan ini adalah contoh kejayaan Kerajaan Negeri yang serius dan komited dalam memperkasakan pertumbuhan ekonomi, lantas membuka peluang-peluang pekerjaan untuk manfaat seluruh rakyat dan usaha ini akan terus ditingkatkan lagi pada masa akan datang,” kata Hajiji yang turut hadir menyaksikan upacara pemeteraian perjanjian tersebut yang diadakan di Mini Auditorium, Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Beliau berkata, pada hari yang sama, Majlis Penyampaian Mock Cheque daripada Agensi Kerajaan Negeri dan Badan-badan Berkanun Negeri juga telah disempurnakan.

“Sejumlah RM67.8 juta dividen telah diisytiharkan oleh Borneo Development Corporation Sdn Bhd (BDC), Keningau Agro-Venture Sdn Bhd(KAV), Desa Group Sdn Bhd, Innoprise Corporation Sdn Bhd, KKIP Sdn Bhd, Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dan Sabah Development Berhad (SDB) serta sejumlah RM1.75 juta sumbangan telah diisytiharkan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Lembaga Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA), Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen dan sumbangan yang bakal dikutip pada tahun ini adalah sebanyak RM152 juta yang mana pihak government-linked companies dan Badan-Badan Berkanun Negeri dijangka akan membuat pembayaran tersebut sebelum penghujung tahun ini.

“Ini adalah salah satu kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri dengan semangat dedikasi penjawat awam yang berkaliber serta kewajipan dan tanggungjawab Badan-badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri,” katanya.

wartaoriental

Exit mobile version