Site icon Sabah Baru News

Industri minyak sawit dijangka hadapi masa sukar – KM

Hajiji melancarkan logo sambutan Ulang Tahun ke 50 Sabah Softwoods Berhad sebelum pengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad ke-137 di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Industri minyak sawit sedang menghadapi masa sukar disebabkan peningkatan kos buruh, baja dan operasi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Katanya, ini ditambah dengan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang turun naik dari minggu ke minggu yang di luar kawalan pemain industri.

“Pada masa ini dengan harga MSM kini dalam jajaran RM3,500/Mt (metric ton) ke RM4,000/Mt, akan mengakibatkan kurangnya hasil untuk negeri Sabah berbanding awal tahun 2022.

“Justeru, adalah amat penting pada masa ini untuk Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terlibat dalam industri sawit terus memantau dengan lebih teliti berkaitan kawalan kos operasi dan produktiviti pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad ke-137 di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Hajiji menerima cenderamata berupa logo Ulang Tahun Sabah Softwoods Berhad ke 50 daripada Mohd. Daud sambil diperhatikan oleh Ghulamhaidar selepas melancarkan logo itu pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad ke-137 di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, Sabah Softwoods Berhad telah menunjukkan prestasi yang baik pada dua suku pertama 2022.

“Saya amat bangga diberitahu bahawa akaun syarikat Sabah Softwoods dari awal tahun sehingga sekarang menunjukkan peningkatan hasil disebabkan oleh harga MSM yang baik, walaupun pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan MSM tidak mencapai sasaran yang kehendaki.

“Saya ingin melihat supaya Lembaga Pengarah dan pasukan Pengurusan mencari jalan dan kaedah untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh dan kekangan logistik yang menghalang pengeluaran BTS,” kata Hajiji yang juga Pengerusi Sabah Softwoods Berhad.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri optimis, Sabah Softwoods yang berjaya merekodkan hasil dan keuntungan lebih tinggi tahun ini boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham disamping memberi lebih banyak faedah dan manfaat kepada pekerja dari segi pembayaran gaji dan bonus.

Beliau juga mahu lembaga pengarah dan pasukan pengurusan bertekad mencapai yang lebih baik untuk maju kehadapan dan menggunakan segala sumber untuk lebih proaktif dan produktif.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Softwood Bhd sempena Ulang Tahun Ke-50 yang akan disambut dan diraikan pada tahun hadapan dan mendoakan ia terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Terdahulu, Hajiji melancarkan logo Ulang Tahun Ke-50 Sabah Softwoods Berhad.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Softwoods, Datuk Haji Mohd. Daud Tampokong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar.

wartaoriental

Exit mobile version