Lionel Messi dan rakan sepasukannya meraikan kejayaan selepas perlawanan Piala Dunia pusingan 16 antara Argentina dan Australia di Stadium Ahmad Bin Ali, Doha, Qatar, 3 Dis 2022. (Foto AP)
ARGENTINA 2 AUSTRALIA 1
Lionel Messi meraikan jaringan pertamanya di peringkat kalah mati Piala Dunia menerusi penampilan yang ke-1,000 dalam kariernya sambil memberi penghargaan kepada penyokong Argentina ketika membantu negaranya mara ke suku akhir di Qatar.
Messi membuka tirai jaringan ketika Argentina menyingkirkan Australia 2-1 di Stadium Ahmad bin Ali, awal pagi tadi, yang menyaksikan Julian Alvarez gol jaringan sebelum gol sendiri Enzo Fernandez sempat meletakkan mereka dalam situasi cemas.
Hanya Gabriel Batistuta (10) telah menjaringkan lebih banyak gol Piala Dunia buat La Albiceleste berbanding sembilan gol Messi, dan kapten itu memuji usaha penyokong negara Amerika Selatan yang hadir tatkala pasukannya menempah pertemuan dengan Belanda dalam suku akhir.
“Saya sangat gembira kerana dapat mengorak langkah ke hadapan dan mencapai satu lagi objektif,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
“(Australia) sangat mantap dan ini adalah sebuah perlawanan yang sukar, kami sedar ia akan menjadi (sengit) seperti ini.
“Kami baru beraksi dan tidak mempunyai banyak masa untuk berehat, jadi kami bimbang kerana kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sangat fizikal. Nasib baik kami menemui jaringan dan selepas mendahului dengan kelebihan dua gol, ia menjadi lebih mudah buat kami.
“Saya sangat gembira untuk berkongsi detik indah ini bersama semua peminat, saya sedar usaha yang mereka lakukan untuk berada di sini, demi bersama kami dalam setiap perlawanan. Seluruh Argentina ingin berada di sini.”
Messi membuat penampilan ke-169 bersama Argentina sementara 778 perlawanan di Barcelona dan 53 lagi di Paris Saint-Germain (PSG).
Setakat ini, dia sudah mengumpul 789 gol dan mencipta 338 bantuan jaringan dalam 1,000 perlawanan, manakala Australia merupakan pasukan ke-129 menjadi mangsa sentuhan pemusnahnya.
“Ikatan atau semangat sepasukan yang kami ada di samping peminat adalah sesuatu yang indah, itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pasukan kebangsaan,” katanya.
“Kami teruja dan tidak sabar-sabar untuk bersama-sama dengan orang ramai lagi. Semangat dan tenaga yang mereka pancarkan cukup sukar dipercayai.”
— AWANI