Site icon Sabah Baru News

Sabah dan Sarawak kini diiktiraf sebagai kuasa politik besar dalam negara

KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) percaya Sabah dan Sarawak kini diiktiraf sebagai kuasa politik gagah berikutan pelantikan Timbalan Perdana Menteri negara pertama dari Malaysia Timur.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Ceasar Mandela Malakun berkata, pihaknya menyifatkan perkara itu sebagai tanda kebangkitan Borneo Blok dalam politik negara.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri pertama memberikan pengiktirafan itu kepada Malaysia Timur. 

“Ia adalah penghormatan kepada Sabah dan Sarawak, memandangkan kedua-dua negeri ini adalah rakan setaraf dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda GRS Penampang berkata, walaupun ramai pemimpin politik di Sabah menyuarakan kekecewaan dengan kurangnya wakil Sabah di Kabinet persekutuan, Ceasar menasihatkan agar mereka ini perlu melihat gambaran yang lebih besar serta berpandangan jauh.

Beliau mengingatkan bahawa kini Sabah dan Sarawak mampu menjadi penentu siapa boleh membentuk kerajaan Pusat.

“Mungkin sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak akan benar-benar mampu menikmati manfaat sebagai rakan setaraf dengan Semenanjung Malaysia, dalam politik tiada yang mustahil.

“Oleh itu, perlu melihat kepada gambaran lebih besar, ia bukan sekadar jawatan di Kabinet tetapi kedudukan Borneo dalam politik negara,” katanya.

EDITOR

Exit mobile version