Site icon Sabah Baru News

17 GRO warga asing ditahan di Melaka

MELAKA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menahan 17 pelayan pelanggan (GRO) yang sedang leka melayan pelanggan menerusi serbuan di dua pusat hiburan dan sebuah pusat refleksologi tidak berlesen di sini awal pagi semalam.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kesemua GRO yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 30 tahun yang berasal dari Vietnam, Thailand, Laos dan China.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang disyaki ejen kepada GRO terbabit turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Pasukan operasi telah menyerbu dua pusat hiburan dan sebuah pusat refleksologi dan hasil daripada risikan yang dijalankan, mendapati wanita warga asing tersebut disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan.

“Mereka ini dipercayai diuruskan oleh ejen yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat berdasarkan permintaan tinggi pelanggan mengikut lokasi yang berbeza yang mana seorang lelaki warga tempatan turut ditahan dalam serbuan itu,”katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, pemeriksaan di premis hiburan berkenaan juga mendapati ianya baru dibuka dan beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Premis beroperasi dalam keadaan mencurigakan dimana pintu utama ditutup rapat dan ada laluan khas yang dikawal oleh penjaga diluar premis berkenaan,”katanya.

Selain itu katanya, 17 wanita berkenaan antara 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini termasuk di medan selera dan bengkel membaiki kereta.

“Antara kesalahan PATI yang dikenalpasti ialah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas serta permit dan lain-lain kesalahan dibawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

“Dalam serbuan ini, kesemua warga asing telah ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut dan sebanyak 11 Saman kepada saksi telah dikeluarkan untuk hadir memberi dan membantu siasatan,”tambahnya.

-astroawani

Exit mobile version