Site icon Sabah Baru News

Pernas, SME Corp komited lahirkan usahawan francais

PUTRAJAYA: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) komited lahirkan lebih ramai usahawan khususnya bidang perniagaan francais di seluruh negara.  
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kedua-dua agensi itu turut berperanan dalam memperkasakan lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Katanya, Pernas dan SME Corp adalah antara 11 agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


“SME Corp dilihat mampu memacu pertumbuhan dan transformasi perniagaan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia, malah sudah memberi pekerjaan kepada 47.8 peratus rakyat Malaysia.


“Justeru, kita berharap peruntukan lebih besar disalurkan kepada kementerian ini dan agensi di bawahnya supaya dapat memperkasakan PKS serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri taklimat Pernas dan SME Corp yang diadakan di pejabat masing-masing agensi tersebut, di sini, semalam.


Taklimat Pernas disampaikan Ketua Bahagian Pembangunan Francais Mazlan Ibrahim, manakala SME Corp pula oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal Nainy.


Selepas mendengar taklimat, Ewon melawat pameran produk pengusaha tempatan yang menerima pembiayaan atau bantuan daripada SME Corp.


Kemudian, Ewon turut melawat beberapa gerai produk di bawah Pernas iaitu minyak wangi jenama Abdul Samad Al-Qurashi (ASQ) dan Gloria Jean’s Coffees (GJC).

Sementara itu, dalam taklimat SME Corp, Rizal menjelaskan, antara program yang akan dilaksanakan oleh agensi itu pada tahun 2023 ialah Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).


“Program itu adalah khusus untuk belia bumiputera berumur 18 hingga 30 tahun yang berminat dalam perniagaan dan mempunyai sijil kemahiran asas dari institut latihan atau pusat kemahiran tempatan.


“Kami juga melaksanakan program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) bertujuan meningkatkan bilangan PKS bumiputera ke pasaran eksport serta mewujudkan rangkaian dan rantaian bekalan dalam kalangan mereka,” katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif PNS ASQ Asia Badrul Badrulhisham Shawal dalam taklimatnya pula berkata, ASQ sudah mula beroperasi di Melawati Mall dan Menara Pernas.


“Berikutan permintaan yang tinggi di seluruh negara, kami akan membuka cawangan di beberapa tempat termasuk Kota Kinabalu, Miri dan Johor, pada tahun hadapan.


“Produk minyak wangi keluaran kami juga kini boleh dibeli secara online melalui aplikasi Shopee dan Lazada,” katanya.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Suriani Ahmad.

Hamzah Sanudin

Exit mobile version