Site icon Sabah Baru News

Ruslan, Matbali meriahkan sambutan Krismas di DUN Lumadan

BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam bersama Ahli Parlimen P.178 Sipitang, Datuk Matbali Haji Musah telah menyampaikan sumbangan berbentuk hamper kepada 202 ketua isi rumah (KIR) sempena majlis perasmian Dewan Terbuka Kampung Tinimungon, Limputong dan penyerahan sumbangan Hari Natal kepada gereja-gereja dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.34 Lumadan, kelmarin.

Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd berkata, sumbangan hamper itu melibatkan sembilan buah kampung dan ia adalah untuk membantu keluarga dalam kategori B40.

Ruslan turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada beberapa gereja di Lumadan iaitu Gereja Kg. Lumadan, Kg. Laboi dan Kg. Binunuk.

“Sekurang-kurangnya ini dapat membantu pihak gereja untuk menyambut perayaan Krismas yang tidak lama lagi,” katanya.

Ruslan turut menyeru agar rakyat Lumadan dapat meraikan sambutan perayaan dengan penuh kesederhanaan dan meneruskan perpaduan sesama mereka.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pemimpin Pemaju Masyarakat N.34 Lumadan, Dioslin Agustine; ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ketua-kampung, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) serta para pemimpin gereja.

Exit mobile version