Site icon Sabah Baru News

Libat kami dalam MA63, PKR Sarawak beritahu Fadillah

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR Sarawak menggesa Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof melibatkan wakil parti itu dalam mana-mana usaha menyelesaikan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Timbalan Setiausaha Agung PKR Sarawak, Tay Wei Wei, berkata Fadillah perlu melibatkan semua pihak dalam kerajaan perpaduan mengenai perkara itu, tambahnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membuktikan keikhlasannya dalam usaha memenuhi MA63.


“PKR Sarawak ada wakil yang mempunyai pengalaman dan kepakaran membabitkan MA63, termasuk peguam dan bekas ADUN, Dominique Ng.


“PKR juga antara parti pertama yang berjanji untuk mengembalikan hak (Sabah dan Sarawak) di bawah MA63, yang boleh dibuktikan dalam manifesto PKR Sarawak di pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya yang juga ketua PKR Sri Aman dalam kenyataan.


Beliau bertanding di kerusi Parlimen Sri Aman dalam PRU15 tetapi tewas kepada Doris Sophia Brodi daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Selepas mengumumkan barisan Jemaah Menteri pada 1 Dis lalu, Anwar menugaskan Fadillah, yang juga timbalan perdana menteri pertama dari Borneo, untuk memastikan semua perkara tertangguh berkaitan MA63 diselesaikan segera.


Fadillah yang juga naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau diberi masa sebulan untuk menyelesaikan tuntutan berkaitan MA63.

EDITOR

Exit mobile version