Site icon Sabah Baru News

Adakah kerajaan Anwar akan pertingkat usaha tangkap Jho Low?

Dua wartawan yang bertanggungjawab mendedahkan jejak penyelewengan wang 1MDB melibatkan bekas perdana menteri yang kini dipenjarakan Najib Razak mempersoalkan sama ada kerajaan baru yang diketuai Anwar Ibrahim akan meningkatkan usaha dalam mengesan dan menangkap Low Taek Jho, suspek yang dipercayai mendalangi skandal berbilion dolar itu.

Tom Wright dan Bradley Hope merupakan pengarang buku “Billion Dollar Whale”, yang memperincikan bagaimana berbilion ringgit dari 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib menerusi Asia Wall Street Journal, menyatakan kebimbangan sekiranya kerajaan Malaysia akan mengutamakan hubungannya dengan China berbanding usaha memburu Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Muncul dalam siri terbaru dalam talian mengenai warga Malaysia dalam buruan itu, mereka berkata Low masih tidak dapat ditangkap selepas lebih empat tahun kerajaan Najib tumbang pada 2018.

Bagaimanapun kedua-dua mereka menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia akan secara aktif mencari Low di bawah kerajaan baru.

“Namun terdapat halangan besar. Bagaimanakah Malaysia akan kendalikan rundingan ini dengan China, negara berpengaruh di rantau itu?

“Akhirnya, kebimbangan strategik Malaysia akan mendahului keadilan dalam kes ini,” kata Hope.

Apa yang dibangkitkan oleh mereka dilatari isu kerjasama politik rapuh yang dipimpin Anwar dalam kerajaan, di mana beliau bergantung dengan sokongan Umno yang dikepalai sekutu-sekutu rapat Najib dan Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno yang secara kontroversi dilantik sebagai timbalan perdana menteri walaupun berdepan pelbagai pertuduhan rasuah.

Sebelum ini, Hope dan Wright mendedahkan Low mungkin berada di China, di mana mereka berkongsi gambar ahli perniagaan dalam buruan itu di Shanghai Disneyland.

Mereka mendakwa Low lari ke China atas arahan Najib, di mana beliau menjalinkan hubungan rapat dengan pemimpin Parti Komunis China.

Hope berkata Low membuat rancangan untuk “menyelamatkan” Najib selepas skandal 1MDB menjadi tajuk berita di seluruh dunia.

“Sebagai pertukaran, Najib pada dasarnya akan menggadaikan kedaulatan negara kepada China.

“China akan mendapat banyak wang dalam proses itu, kerana Malaysia akan bersetuju untuk membayar lebih untuk belian aset. 

“Sebahagian daripada langkah yang dibuat itu boleh digunakan untuk menyelamatkan Najib dan selebihnya akan memberi keuntungan untuk syarikat China.”

Bekas perdana menteri itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan menyelewengkan puluhan juta dana SRC International.

Sementara itu, Wright berkata beliau memiliki minit mesyuarat antara pegawai Low dan China, memperincikan bagaimana Low dan China mendapat keuntungan daripada wang yang disediakan untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata, ia menjadi punca mengapa Low masih dapat berjalan bebas walaupun dikehendaki di beberapa negara termasuk Singapura dan AS.

Kedua-dua wartawan Amerika itu berkata China tidak akan melepaskan Low kerana beliau boleh mendedahkan butiran mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) kepada negara membangun yang lain.

BRI ialah usaha China untuk membangunkan projek infrastruktur merangkumi Asia Tenggara, Asia Tengah dan Afrika.

“BRI adalah pelabur terbesar di negara membangun. Jika negara-negara itu tahu wujud perjanjian tersembunyi, mereka akan enggan menerima perjanjian itu kerana mereka takut akan kehilangan kedaulatan negara, seperti Malaysia yang hampir menjadi negara boneka kepada China,” kata Hope.

Namun, Hope berkata China dan Malaysia boleh mendapat manfaat daripada ekstradisi Low.

“China mempunyai banyak keuntungan kerana mereka boleh memulihkan kepercayaan, dan Malaysia akan mendapat  banyak faedah kerana mereka boleh menutup kes itu dan mereka boleh mendapatkan semula lebih banyak wang,” katanya.

Sehingga Januari tahun ini, kerajaan Malaysia berkata pemerolehan semula dana 1MDB sudah mencecah RM19.14 bilion.

Ahmad Mustakim Zulkifli

Exit mobile version