Site icon Sabah Baru News

Perayaan Krismas beri impak positif, medium penyatuan rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat selain memperkukuhkan ekonomi negeri meskipun negara masih dalam proses pemulihan selepas dua tahun berada dalam pasca pandemik COVID-19.


Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Seri Penglima Dr. Joachim Gunsalam berkata sambutan Krismas dengan pelbagai pengisian baru-baru ini membuktikan usaha kerajaan menghargai setiap peranan dan sumbangan segenap lapisan masyarakat di negeri ini.


“Tema perayaan Kristmas yang disambut di ibu negeri tahun ini iaitu ‘Seruan Kesejahteraan’ amat bertepatan sekali untuk terus menyatupadukan segenap lapisan masyarakat di negeri ini.


“Perayaan ini juga memberi impak yang sangat positif di mana ia membolehkan rakyat dari pelbagai etnik turut sama merasai kegembiraan perayaan Krismas,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan KK Christmas 2022 yang diadakan di Padang Merdeka di sini.


Beliau juga menyeru kepada rakyat Sabah agar menjadikan sambutan perayaan Hari Krismas ini sebagai satu kesyukuran dan kesatuan tanpa mengira perbezaan etnik, bangsa dan agama.


“Marilah bersama-sama mengorak langkah dan  mengekalkan kesejahteraan serta keharmonian negeri kita yang tercinta ini,” katanya.


Dalam pada itu beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Sabah kerana berjaya menganjurkan perayaan selama empat malam ini dengan penuh warna-warni.


“Syukurlah perayaan Krismas pada tahun ini berjaya dan berlangsung dengan lebih meriah selama empat malam. 


“Saya gembira melihat acara ini berjaya menarik ramai pengunjung datang ke Padang Merdeka bagi merasai pelbagai aktiviti sebagai pengisian program setiap malam,” katanya.


Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK Robert Lipon, Presiden Gereja-gereja Sabah selaku Pengerusi bersama Kota Kinabalu Christmas Celebration 2022 Reverend Datuk Jerry W.A Dusing, Pengarah Eksekutif YTL Communication Sdn Bhd yang juga penaja rasmi Acara sambutan perayaan Krismas 2022.

Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version