Site icon Sabah Baru News

Pemimpin politik Sabah perlu jalinkan persefahaman

KOTA KINABALU: Semua pemimpin parti politik di Sabah diharapkan dapat menjalinkan persefahaman sebagai satu langkah menamatkan sejarah panjang politik yang merosakkan keharmonian negeri ini.


Pemimpin Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Ceasar Mandela Malakun berkata, tanpa perpaduan semua pemain politik, tidak mungkin ada keamanan di Sabah.


“Jika pemimpin dan ahli politk tidak berdamai, negeri ini tidak akan boleh aman dan boleh mengancam masa depan semua rakyat Sabah.


“Justeru, mari kita bekerjasama untuk menamatkan perbalahan antara pemimpin dan parti politik di negeri ini,” katanya.


Beliau yang juga Setiusaha Politik Ketua Menteri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Parti Warisan (WARISAN), Datuk Azis Jamman, Jo-Anna Sue Henly Rampas dan Mohd Fakhurazzi Aliuddin, baru-baru ini.


Katanya, cukuplah bermain politik dengan cara lama yang mana satu pihak membuat serangan peribadi supaya mahu dilihat sebagai pemimpin yang baik.


“Sudah tiba masanya kita belajar menjadi matang dalam berpolitik dan semua pemain politik perlu berubah dari sekarang.


“Saya percaya rakyat mahu melihat ahli politik dan pemimpin memiliki sikap terbaik dan lebih profesional,” katanya.


Mandela berharap sempena menyambut perayaan Krismas dan tahun baharu adalah masa yang terbaik untuk semua pemimpin politik menganjurkan kesatuan dan persefahaman.


“Ini adalah nilai yang sepatutnya membentuk asas kepada politik, masa depan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version