Site icon Sabah Baru News

Ewon tekad terus beri kerjasama kepada Tekun Nasional

Kuala Lumpur: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata beliau akan terus memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Perniagaan Nasional (Tekun Nasional) dalam usaha membela dan membangunkan lagi peniaga kecil dan sederhana di negara ini yang sangat memerlukan bantuan kerajaan melalui pinjaman atau program sokongan yang disediakan oleh Tekun Nasional.


Menurutnya, Tekun Nasional adalah antara pilihan popular dan utama bukan sahaja oleh peniaga kecil tetapi juga kontraktor kerana proses pinjaman yang mudah dan cepat.


“Tekun Nasional bukan sahaja menyediakan pembiayaan mikro tetapi juga perkhidmatan bimbingan dan sokongan serta budaya keusahawanan,” katanya selepas melawat dan menghadiri taklimat Tekun Nasional di pejabat agensi itu.


Tekun Nasional merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).


Agensi lain ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Institut Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, Bank Rakyat, SME Bank, UDA Holdings Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).  


Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Dato’ Sri Suriani Ahmad.


Menurut Ewon, setakat ini, Tekun Nasional mempunyai 170 pejabat beroperasi di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.


“Tekun Nasional akan mengadakan sambutan 25 tahun pada 2023 dan pastinya menjadi kebanggaan seluruh rakyat negara ini terutama peniaga dan usahawan kerana Tekun Nasional merupakan antara agensi yang membantu mereka berjaya dalam bidang keusahawanan,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Dato Adam Abd. Ghani berkata, Tekun Nasional menyediakan pembiayaan antara RM1,000 hingga RM100,000 dengan tempoh pembiayaan dari enam bulan hingga 10 tahun.


Katanya, kaedah pembayaran juga mesra pelanggan dengan pelbagai pilihan termasuk perbankan internet, mesin deposit tunai, cek atau tunai.


“Dari segi pencapaian Tekun Nasional, sejak 1998 hingga November 2022, Tekun Nasional telah membiayai pinjaman berjumlah RM8.01 bilion kepada 736,528 usahawan,” katanya.


Adam berkata, untuk tahun ini sahaja iaitu Januari hingga November, Tekun Nasional telah memberi pinjaman berjumlah RM1.06 bilion kepada seramai 70,463 usahawan di seluruh Malaysia.


“Daripada jumlah pembiayaan tahun ini, Selanggor mencatatkan jumlah peminjam tertinggi iaitu 12,043 usahawan dengan nilai pembiayaan RM180,781,800, diikuti Sabah dengan pembiayaan RM137,209,000 (8,988 peminjam),” katanya.

EDITOR

Exit mobile version