Site icon Sabah Baru News

Walau kecewa dengan MoU, Ahli Parlimen PKR kekal undi sokong Anwar

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang juga penyokong setia Anwar Ibrahim menyatakan “kekecewaan” dengan klausa terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani parti membentuk kerajaan perpaduan yang menghalang Ahli Parlimen mengundi mengikut nurani di Dewan Rakyat.


Pemimpin kanan PKR Johor itu, berkata langkah itu disifatkan seperti menghapuskan hak dan keistimewaan Parlimen bagi wakil rakyat dipilih pengundi untuk diberitahu apa yang perlu dilakukan di Parlimen.


Hassan berkata, walaupun tidak bersetuju dengan klausa itu, beliau akan mengundi menyokong usul percaya terhadap perdana menteri yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.


Katanya, keputusan itu dibuat bukan sahaja berdasarkan Anwar yang dianggap ‘kawan lama’, malah rakan seperjuangan ketika bergelut membawa agenda reformasi, bahkan beliau yakin terhadap presiden PKR itu membawa kestabilan ekonomi dan politik negara ini.


“Apa yang mahu saya sampaikan adalah saya akan mengundi mengikut nurani di Dewan Rakyat dalam semua perkara. Menghalang saya daripada memutuskan apa yang terbaik kepada rakyat melanggar (hak asasi saya).


“Bagi undian percaya, saya akan mengundi menyokong Anwar kerana beliau orang terbaik sebagai perdana menteri,” katanya kepada FMT.


Pada Jumaat, pemimpin lima parti politik menandatangani MoU bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan diterajui Anwar.


Sebelum ini, Anwar berkata beliau akan menguji “sokongan majoriti” di Dewan Rakyat, esok, menerusi undi percaya.


Terdapat klausa yang menyatakan Ahli Parlimen dari parti membentuk kerajaan yang gagal mematuhi arahan parti dan mengundi tidak berpihak kepada perdana menteri atau kerajaan dianggap perlu mengosongkan kerusi mereka serta merta.


Kerusi disandang Ahli Parlimen berkenaan dianggap kosong seperti mana diperuntukan dalam Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.


Hassan yang menulis puisi panjang lebar di Facebook, semalam, antara lain cuba menyampaikan maksud MoU ditandatangani “membunuh demokrasi”. Beliau menjelaskan pada masa depan apa sahaja bentuk undi dibuat berdasarkan nurani termasuk mengambil kira kepentingan rakyat.


Hassan merupakan peguam yang memulakan kerjaya politik dengan Parti Rakyat Malaysia, berkata beliau menyertai PKR selepas Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir Mohamad, pada 1998, bertujuan bagi mereformasikan politik negara, yang disifatkan sebagai autokratik.


“Itulah sebabnya saya menentang MoU itu kerana bersifat autokratik. Ia menyekat kebebasan memilih seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Saya menentang sebarang bentuk tindakan yang mengambil langkah terkebelakang dalam demokrasi berparlimen,” katanya.

K. Parkaran

Exit mobile version