Home » Mercedes S600 tidak pernah dibeli oleh kerajaan, Marzuki percaya Anwar terkhilaf
Berita Dalam Negara Politik

Mercedes S600 tidak pernah dibeli oleh kerajaan, Marzuki percaya Anwar terkhilaf

Dr Marzuki berkata sehinggalah Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, kereta Mercedes itu tidak pernah ditempah atau dibeli oleh kerajaan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terkhilaf kerana mengatakan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memesan sebuah kereta rasmi untuk kegunaannya tetapi tidak diteruskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi PM kesembilan.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad menjelaskan sebagai PM ketika itu, Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600.

“PM-10 (Anwar) di Dewan Rakyat semalam berkata Tan Sri Muhyiddin memesan sebuah kereta rasmi tetapi tidak diteruskan oleh PM-9 dan dibatalkan oleh PM-10. Saya agak beliau merujuk kepada kereta Mercedes S600 itu.

“Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600.

“Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh Kementerian Kewangan.

“Saya kembalikan minit tersebut kepada pegawai dan ia terhenti setakat itu sahaja,” katanya dalam kenyataan sebagai mengulas dakwaan dibuat Anwar bagi memberi persepsi negatif kepada Muhyiddin.

Dr Marzuki berkata sehinggalah Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, kereta Mercedes itu tidak pernah ditempah atau dibeli oleh kerajaan.

“Saya percaya kenyataan PM-10 bahawa Tan Sri Muhyiddin telah memesan kereta tersebut adalah terkhilaf,” jelasnya.

Menurutnya, Muhyiddin menggunakan kereta peribadinya yang sama sejak berada di dalam pembangkang, iaitu ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, PM dan sehinggalah sekarang.

“Beliau tidak menggunakan kereta rasmi kerajaan,” tegas Dr Marzuki.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment