Home » Sedia dana, inisiatif bantu usahawan terjejas banjir, kata Wanita Umno
Berita Dalam Negara Politik

Sedia dana, inisiatif bantu usahawan terjejas banjir, kata Wanita Umno

Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad berkata, dengan adanya bantuan kewangan ia dapat menyokong perniagaan dan usahawan tempatan untuk pulih dan bangkit semula selepas terjejas akibat banjir.

PETALING JAYA: Wanita Umno menggesa kerajaan memberi perhatian serius kepada usahawan terutamanya golongan wanita yang terkesan akibat bencana banjir.


Ketuanya, Noraini Ahmad mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana dalam bentuk pemberian geran kepada usahawan untuk membina semula perniagaan mereka.


“Selain daripada itu, Wanita Umno juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan skim pembiayaan pinjaman tanpa faedah dengan moratorium selama 12 bulan.


“Wanita Umno yakin, dengan adanya bantuan-bantuan kewangan seperti ini, ianya dapat menyokong perniagaan dan usahawan tempatan untuk pulih dan bangkit semula,” katanya dalam kenyataan.


Noraini berkata, pihaknya telah menggerakkan jentera untuk mengumpulkan usahawan wanita yang terkesan akibat banjir dan akan memastikan penyaluran bantuan dijanjikan kerajaan sampai dengan sebaik-baiknya kepada setiap yang terjejas.


“Wanita Umno menyambut baik tindakan pantas kerajaan yang memperuntukan sekitar RM400 juta untuk menyelaras operasi dan bantuan banjir baru-baru ini.


“Wanita Umno juga berterima kasih kepada institusi kewangan dan institusi pembangunan kewangan (IKP) yang telah mengambil inisiatif menawarkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan kepada mangsa banjir,” katanya.


Sebelum ini kerajaan memperuntukkan RM400 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menyelaras operasi dan bantuan di kawasan terjejas banjir di seluruh negara.

— EDITOR