Home » Shahelmey kata GRS-BN komited kepada kemajuan Sabah
Berita Tempatan Politik

Shahelmey kata GRS-BN komited kepada kemajuan Sabah

Ahli Parlimen Putatan itu menegaskan semua pihak harus bekerjasama membangunkan Sabah dan menghentikan segala bentuk provokasi atau membangkitkan isu yang tidak menguntungkan negeri.

MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya berkata Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) stabil dan fokus untuk membawa pembangunan ke Sabah.


“Kerajaan Negeri kita stabil. Tidak timbul isu kita goyah atau apa-apa seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.


“Semua kepimpinan Kerajaan Negeri fokus kepada usaha membangunkan Sabah, untuk rakyat Sabah.


“Kita baru saja selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) masih lama lagi, iaitu sekitar 2025.


“Jadi keutamaan sekarang adalah untuk membangunkan Sabah dan membantu rakyat dan Negeri kita,” katanya semasa program Kami Prihatin dan Sayang Anak Yatim Santai di Putatan.


Ahli Parlimen Putatan itu menegaskan semua pihak harus bekerjasama membangunkan Sabah dan menghentikan segala bentuk provokasi atau membangkitkan isu yang tidak menguntungkan negeri.


“Cukuplah bermain politik, mari kita kurangkan bermain sekarang.


“Kita perlu fokus pada kerja, bekerja sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat kita, untuk membangunkan Sabah dan membantu rakyat Sabah,” katanya lagi.


Dalam program itu, Shahelmey menasihati anak-anak yatim supaya menumpukan usaha mengejar cita-cita dan mengutamakan pelajaran.


“Untuk kita berjaya mencapai matlamat kita pada masa hadapan, kita mesti bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh. Belia adalah harapan sekolah, negeri dan negara.


“Tugas mereka adalah menumpukan perhatian kepada pelajaran dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sehingga berjaya di universiti,” katanya.


Tambah Shahelmey, kementeriannya akan sentiasa berusaha untuk membawa lebih banyak bantuan dalam usaha membantu semua golongan sasar yang memerlukan bantuan, termasuk anak yatim dan warga emas.


“Setiap tahun kita cuba lihat dan tambah semua aspek perlu, khususnya untuk tujuan bantuan kebajikan, kerana sudah pasti setiap tahun, data akan berubah dan terdapat ramai yang kita perlu bantu,” katanya.

— EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment