TEXAS: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan pihak berkuasa Texas atas dakwaan menembak mati rakan serumahnya selepas menurunkan hiasan Krismas di kediaman mereka.
Suspek Cayman Wilson dari Crosby didakwa atas tuduhan membunuh dan kini ditahan di Penjara Harris County dengan hukuman bon AS$150,000 (RM660,750).
Dalam pada itu, mangsa disahkan sebagai Marissa Dikeman yang merupakan pelajar di Universiti Houston Christian berusia 19 tahun.
Pegawai penguatkuasa undang-undang Texas memaklumkan tembakan berlaku sekitar jam 9 malam Khamis di blok 4400 Sherri Lane di Crosby, kira-kira 20 batu timur laut Houston.
Datuk kepada mangsa memaklumkan cucunya yang baru sahaja pulang ke rumah dari tempat kerja menanggalkan hiasan Krismas bersama dua rakan lagi rakan sekerja yang kedua-duanya berumur 17 tahun.
Apa yang mengejutkan, Wilson didakwa turut membantu Dikeman menanggalkan hiasan Krismas sebelum mencapai senapang dan menembak mangsa.
Sarjan Greg Pinkins dari Pejabat Sheriff Harris County memberitahu senjata api itu bermungkinan milik rakan sebilik Dikeman yang tiada ketika kejadian.
Dikeman yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik mengambil jurusan pentadbiran pendidikan dan dijangka menamatkan pengajian tahun depan.
Sementara itu, Wilson dijangka hadir ke mahkamah untuk perbicaraan awal pada Selasa depan.
Add Comment